Mahkamah tangguh keputusan kes mohon halang usul sempadan
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menetapkan 11 April untuk keputusan berhubung permohonan lebih 10,000 pengundi Selangor untuk mendapatkan perintah tetap menghalang pembentangan laporan persempadanan semula pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.
Permohonan semakan kehakiman untuk mencabar laporan persempadanan semula kawasan pilihan raya SPR itu difailkan minggu lalu oleh mereka, termasuk bekas Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah; Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan beberapa ADUN Selangor yang lain.
107 individu yang mewakili lebih 100 pengundi setiap seorang juga memohon perintah penangguhan terhadap pembentangan usul persempadanan baru SPR di Parlimen.
Walau bagaimanapun, Dewan Rakyat semalam meluluskan usul itu untuk mengguna pakai sempadan pilihan raya baru yang dicadangkan oleh SPR.
Peguam yang mewakili 107 pemohon itu, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata mahkamah hari ini juga mendengar hujah oleh kedua-dua pihak, termasuk sama ada perkara itu kini bersifat akademik.
Ambiga juga mengesahkan bahawa mereka sedang menasihatkan mahkamah sama ada pilihan raya masih boleh dijalankan apabila keputusan mahkamah berkaitan dengan perkara itu belum dibuat.

