'Akta baru boleh bersihkan Pagoh dari skandal dengan wanita'
Akta Antiberita Tidak Benar jika diluluskan akan memberi manfaat kepada semua pihak, termasuk pemimpin pembangkang, kata Datuk Othman Abdul (BN-Pendang).
“Pagoh malah boleh bersihkan namanya daripada dakwaan skandal dengan seorang wanita,” kata anggota parlimen penyokong kerajaan itu merujuk kepada Tan Sri Muhyddin Yassin.
Othman berkata demikian ketika menyampuk perbahasan Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) sebagai pembahas pertama kerajaan.
Penulis blog Raja Petra Kamaruddin tiga tahun lalu menyiarkan akuan bersumpah bekas timbalan pendakwa raya Stanley Clement Agustin yang mendakwa wujud hubungan sulit isterinya dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Stanley mendakwa Nika Gee Siew Yee mempunyai hubungan dengan Muhyiddin ketika beliau berkenaan menjadi menteri besar Johor.
Justeru itu, Setiausaha akhbar Najib, Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad, berkata Muhyiddin tidak boleh dipercayai kerana curang terhadap isterinya.
Muhyiddin pada 1 September 2916 berkata dakwaan itu membuktikan kem Datuk Seri Najib Razak hanya mampu boleh bergantung kepada “cerita seks” untuk mempertahankan perdana menteri.
Sementara itu, Bung berkata undang-undang baru itu datang tepat pada masanya dan tidak mengira sesiapa.
Katanya, Singapura juga mempunyai undang-undang hampir sama.
Muhyiddin sebelum itu bertanya bagaimana berita palsu akan ditafsirkan.
Memberi contoh skandal 1MDB, bekas timbalan perdana menteri bertanya kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atau laporan The Wall Street Journal yang palsu.
Katanya, Najib memberitahunya wang RM2.6 bilion dalam akaunnya datang dari Arab Saudi tetapi WSJ dan Jabatan Keadilan (DOJ), Amerika Syarikat berkata ia bersumberkan 1MDB.

