Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Maria kecam netizen lakukan gangguan seksual terhadap pembantu
Diterbitkan:  Mar 29, 2018 4:55 PM
Dikemaskini: 9:18 AM

Bekas pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah mengutuk keras tindakan 'tentera siber' melakukan gangguan seksual terhadap pembantunya di media sosial.

Gangguan tersebut dibuat selepas wanita berkenaan dilihat memegang plakad berbunyi "Screw you. We are anti-Fake News Bill; Unfair redelineation. Tolak penipuan SPR" ketika himpunan membantah laporan persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Parlimen semalam.

Wanita itu adalah antara ratusan individu yang berhimpun di parlimen bagi membantah usul berkenaan, namun diganggu dengan kata-kata berbaur lucah oleh tentera siber di media sosial.

Seorang netizen memuat naik gambarnya dan menulis, "Yeah, I would like to xxxx you too (Ya, saya ingin XXXX kamu juga)".

Dalam satu kenyataan media, Maria menuntut netizen berkenaan meminta maaf kepada pembantunya.

"Saya ingin ucapkan tahniah kepada Nadya kerana dengan berani menyatakan pandangannya mengenai persempadanan semula yang baru.

"Beliau, seperti ramai rakyat Malaysia, marah dengan ketidakadilan yang menindas negara kita. Saya amat bangga kerana Nadya adalah pembantu peribadi saya dan dia komited terhadap isu itu seperti mana-mana rakyat Malaysia," 

Maria berkata, tindakan tentera siber berkenaan tanpa rasa malu melakukan gangguan seksual terhadap pembantunya bertujuan untuk menafikan haknya menyatakan pendapat.

"Bersembunyi di belakang papan kekunci dan mengeluarkan kata-kata kesat adalah pengecut dan tidak sopan terhadap wanita.

"Dunia membantah serangan seksual dan memulakan kempen global #MeToo, dengan ramai artis terkenal dan individu terkemuka bercakap menentang tingkah laku yang tidak boleh diterima itu.

 

"Saya menuntut agar pengecut ini datang dan meminta maaf kepada Nadya dengan serta-merta," tambahnya,

Lihat Komen
ADS