Malindo pula ketepikan fi tempahan semula sempena PRU14
Malindo Airways menjadi syarikat penerbangan kedua untuk mengketepikan fi tempahan semula untuk tiket penerbangan yang ditempah pada hari mengundi pada pilihan raya umum ke-14.
"Dengan menjangkakan pilihan raya umum ke-14 akan datang, Malindo Airways memberi beberapa pengecualian fi untuk memastikan perjalanan tetamu kami tidak terjejas," kata syarikat penerbangan yang berpangkalan di Malaysia itu dalam kenyataan akhbar bertarikh semalam.
Menurut Malindo Airways, tawaran itu hanya tersedia untuk warganegara Malaysia yang memegang tiket Malindo yang sah.
Ia akan membolehkan pemegang tiket satu peluang untuk menukar tarikh perjalanan mereka dengan percuma, dengan syarat ini dilakukan dalam masa tujuh hari selepas tarikh pilihan raya diumumkan.
Ini pula tertakluk jika ada kerusi yang masing kosong, tetapi kedua-dua fi tempahan semula dan perbezaan tambang akan diketepikan.
Bagi mereka yang ingin menjadualkan semula laluan penerbangan mereka, fi tempahan semula juga diketepikan, tetapi pemegang tiket perlu membayar perbezaan tambang.
Bayaran balik akan tertakluk kepada terma dan syarat tiket.
Minggu lepas, Cathay Pacific, membuat pengumuman serupa.

