Peguam jawab DOJ: Lokasi Equanimity boleh dikesan di Google
Lokasi kapal persiar Equanimity boleh dikesan oleh sesiapa sahaja yang mempunyai akses kepada enjin carian internet dan masa 30 minit, kata Naeun Rim, peguam yang mewakili penuntut kapal itu.
Rim berkata, bercangahan dengan dakwaan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat, anak kapal Equanimity tidak mematikan Sistem Pengenalan Automatik (AIS) untuk menyembunyikan lokasinya daripada dikesan oleh kerajaan AS bagi mengelakkan rampasan.
Sebaliknya, data itu sentiasa tersedia secara terbuka, katanya dalam pemfailan di Mahkamah Daerah California semalam, yang dokumennya dilihat oleh Malaysiakini.
Rim mendakwa bahawa kerajaan AS cuba untuk mengalihkan perhatian mahkamah dari rampasan itu sendiri, dengan menimbulkan "hujah strawman" yang pihak menuntut Equanimity akan "melarikan diri dengan kapal layar 3000-tan yang kedudukannya diketahui dan selalu diketahui oleh kerajaan dan sesiapa sahaja di planet ini yang bersedia menghabiskan 30 minit di Google".
Bagi menyokong pemfailannya, Rim juga memfailkan pengisytiharan oleh Pengarah Urusan Wilson Yacht Management Group (WYM), Allan Wilson dan 64 halaman data lokasi Equanimity yang dimuat turun dari perkhidmatan pengesanan kapal MarineTraffic.com.
Bukti lampiran juga menyediakan kelajuan dan lokasi kapal yang direkodkan oleh penerima AIS sepanjang tempoh dari 28 Disember tahun lalu hingga 28 Mac.

