GLOBAL I Seekor gajah liar di India yang dilihat menghembuskan abu daripada sisa kebakaran hutan menyebabkan pakar hidupan liar di seluruh dunia bingung.

Vinay Kumar, seorang saintis di Wildlife Conservation Society (India), merakam video berdurasi 48 saat itu dalam perjalanan ketika bertugas di hutan Nagarhole di Karnataka pada April 2016.

BBC melaporkan video itu disiarkan baru-baru ini kerana Kumar sebelum ini tidak menyedari "betapa pentingnya berbuat demikian'.

"Ini dokumentasi video pertama yang diketahui mengenai gajah liar yang menunjukkan perilaku seperti itu, dan ini membuat para saintis dan para pakar terkejut," kata kenyataan dikeluarkan Wildlife Conservation Society (India).

Kumar berkata beliau dan kumpulannya memasuki hutan pada mulanya untuk melihat perangkap kamera yang dipasang bagi merakam gambar harimau.

Bagaimanapun pandangan mereka beralih kepada seekor gajah betina yang berada berdekatan hampir 50 meter dan segera merakam haiwan berkenaan.

Gajah itu dilihat mendapatkan arang daripada bara api yang tertinggal di tanah dan menghembuskan abunya, menurut kenyataan itu.

"Apa yang kami lihat hari itu nampak seolah-olah gajah itu sedang merokok - dia menjulurkan belalainya untuk menghisap abu yang didekatkan di mulutnya dan menyemburkannya sehingga menghasilkan kepulan asap!" kata Kumar.

Seorang pakar gajah, Varun R Goswami, yang melihat video itu berkata "kemungkinan besar, gajah itu sedang cuba mengambil arang kayu dari lantai hutan yang terbakar dan dengan belalainya meniupkan abu dan memakan sisanya."

Katanya, meskipun tidak banyak memiliki kandungan nutrisi, haiwan liar berkenaan mungkin tertarik kepada arang kerana manfaatnya untuk dijadikan sebagai penawar.

"Arang juga boleh dijadikan sebagai julap untuk manfaat bagi haiwan itu memakannya setelah berlaku kebakaran hutan, sambaran petir, atau pembakaran hutan yang terkawal," katanya.