Perdana menteri hari ini mengingatkan kakitangan kerajaan supaya tidak terpedaya dengan janji-janji kosong ditawarkan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Menurut Datuk Seri Najib Razak apa yang diuar-uarkan gabungan pembangkang itu "kedengaran sedap" namun di sebaliknya terkandung mudarat.

"Kita jangan mudah terpengaruh dengan janji-janji kosong (pembangkang) atau pun ibaratnya madu yang beracun.

"Dengarnya sedap tapi ia akan mendatangkan mudarat," katanya di majlis penyerahan kunci projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia di Metropolitan Kepong hari ini.

Menurut Najib janji-janji yang ditawarkan HARAPAN hanya akan menyebabkan rakyat menerima kesan buruk, malah menjejaskan ekonomi negara.

"Akhirnya rakyat yang menanggung penderitaan," katanya.

Perdana menteri menjelaskan keadaan adalah berbeza buat BN kerana parti itu sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Namun katanya ia tidak bermakna kerajaan boleh melaksanakan dasar-dasar populis dan tidak bertanggungjawab serta memberi kesan buruk kepada ekonomi dan masa depan negara.

Fikirkan boleh atau tidak

Katanya janji HARAPAN untuk menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dalam tempoh 100 hari selepas membentuk kerajaan akan memberi kesan besar kepada negara.

Najib menjelaskan jika GST dihapuskan kerajaan akan berdepan kekurangan sehingga RM20 juta dan sebahagian besar program kerajaan terpaksa dimansuhkan atau dikurangkan dengan ketara.

"Mungkin kerajaan (ketika itu) terpaksa tidak melaksanakan skim BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia)," katanya.

Turut terjejas kata perdana menteri ialah bayaran khas RM1,500 sebulan yang dijanjikan kepada setiap penjawat awam di negara ini.

"Sebab itulah kita mesti berhati-hati daripada menerima secara bulat-bulan apa sahaja yang dijanjikan oleh pembangkang.

"Kita mesti menggunakan akal untuk memikirkan sama ada apa yang mereka janjikan itu benar-benar boleh dilaksanakan atau tidak," katanya.

[Baca berita asal]