Seorang ahli perniagaan cedera pada bahagian dada dan perut selepas ditembak oleh seorang penunggang motosikal di hadapan pejabatnya di Kawasan Perindustrian Taming Jaya, Kajang, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 malam itu, mangsa berusia 30 tahun itu bersama pekerjanya baru keluar dari pejabatnya dan masuk ke dalam kereta untuk pergi makan malam.

Ketua Polis Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata semalam ketika itu seorang penunggang motosikal yang memakai jaket gelap dan topi penutup penuh muncul secara tiba-tiba sebelum melepaskan tigas tembakan ke arah kereta mangsa sebelum melarikan diri.

Beliau berkata mangsa kemudian keluar dari keretanya dalam keadaan berlumuran darah sebelum dua pekerjanya membawanya ke sebuah hospital swasta di Cheras.

Menurutnya, pihak polis menerima laporan daripada hospital swasta tersebut mengenai keadaan mangsa cedera ditembak.

Difahamkan, hospital swasta itu memberikan rawatan awal sebelum mangsa dirujuk ke sebuah hospital kerajaan.

Ahmad Dzaffir berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian, polis menemui tiga kelongsong peluru jenis 9mm di jalan raya berhampiran kereta mangsa.

Beliau berkata mangsa dalam keadaan stabil dan motif kejadian masih dalam siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang atau pegawai penyiasat ,ASP S. Vekram di talian 019-4737108 bagi membantu siasatan.

- Bernama