Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perkeso kesan 48 kes sindiket tipu tuntutan
Diterbitkan:  Mar 30, 2018 6:25 AM
Dikemaskini: 10:44 PM

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjaya mengesan sebanyak 48 kes sindiket penipuan tuntutan faedah pencen ilat (hilang upaya kekal) melibatkan kerugian sebanyak RM2.4 juta.

Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata jumlah berbentuk pencen bulanan sepanjang hayat tersebut boleh mencecah sehingga RM30 juta sekiranya dibayar berterusan.

Katanya daripada jumlah tersebut sebanyak 22 kes telah dilaporkan kepada polis untuk tindakan undang-undang dan selebihnya akan dikemukan secara berperingkat.

“Bagi kes yang telah dilaporkan kepada polis, ianya melibatkan pengerusi sebuah badan kebajikan dan 10 suspek lain yang memalsukan dokumen dan memperdaya orang lain untuk bertindak sebagai pemohon semasa pemeriksaan perubatan.

“Kesemua mereka telah dihadapkan ke mahkamah untuk pertuduhan, kita memandang serius perkara ini dan akan memastikan pihak tidak beretika dibawa ke muka pengadilan,” katanya pada sidang media Kegiatan Penipuan Tuntutan Perkeso semalam.

Katanya Perkeso tidak akan berkompromi dengan kegiatan orang tengah yang bergerak secara individu mahpun yang berselindung di sebalik nama-nama persatuan kebajikan, institusi atau NGO (badan bukan kerajaan.

“Perkeso ingin mengingatkan kepada orang ramai bahawa perkhidmatan Perkeso adalah percuma dan tidak perlu menggunakan pihak lain atau orang tengah sebagai pengantara,”

“Orang ramai yang pernah ditipu atay dipergunakan oleh kegiatan orang tengah ini diminta tampil memberi maklumat kepada Perkeso supaya jenayah ini dapat dibanteras,” katanya.

Tambahnya Perkeso juga bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi mempergiat siasatan dalam membanteras sindiket tersebut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS