Persempadanan semula: MP mana tak undi dan kenapa?
Laporan persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diluluskan di Parlimen dengan 129 undi menyokong dan 80 undi menentang.
Bagaimanapun tidak seperti negara demokrasi yang lain, rekod pengundian tidakdiperoleh dengan kadar segera sehingga sukar diketahui anggota parlimen yang mengundi dan tidak.
Di Dewan Rakyat, rekod pengundian sebelum ini dimaklumkan menerusi dokumen yang diedarkan kepada anggota parlimen setelah sesi berakhir.
Namun anggota parlimen mengatakan amalan ini telah dihentikan sejak tahun 2015.
Demi kepentingan awam, Malaysiakini menyemak siapa yang telah mengundi atau tidak pada Rabu. Perkara ini disahkan oleh beberapa anggota parlimen yang turut berada di sana pada masa itu.
Malaysiakini juga menghubungi anggota parlimen yang tidak hadir atau rakan mereka untuk memberi penjelasan mengapa mereka hilang dari dewan semasa undian dilakukan.
Undian itu diluluskan mengikut garis partisan dengan 128 anggota parlimen BN dan satu undi bebas memihak kepada laporan persempadanan semula.
Wakil bebas yang mengundi bersama BN untuk menyokong adalah anggota parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Khalid Ibrahim, menurut beberapa anggota parlimen termasuk mereka yang mengundi dalam blok yang sama dengan bekas menteri besar Selangor itu.
Undian blok adalah sistem di mana Dewan Rakyat dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut tempat duduk dan anggotanya akan memaklumkan kepada ketua blok mengenai undi mereka.
Ketua blok pula kemudian akan menyerahkan keputusan blok itu kepada setiausaha parlimen.
Mereka yang mengundi menentang laporan persempadanan semula terdiri daripada 31 anggota Parlimen dari DAP, 26 dari PKR, 11 dari PAS, tujuh dari Parti Amanah Negara (AMANAH), dua dari Parti Warisan Sabah (WARISAN), satu dari Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), satu dari PSM dan seorang bebas.
Anggota bebas yang mengundi bersama pembangkang adalah anggota Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him, yang keluar dari DAP tahun lepas.
Sebab tidak mengundi
Seramai sembilan anggota Parlimen pembangkang tidak mengundi usul untuk meluluskan laporan persempadanan semula itu.
Mereka ialah Nga Kor Ming (Taiping), Ngeh Koo Ham (Beruas) dan V Sivakumar (Batu Gajah) yang tidak dapat hadir kerana digantung pada hari Isnin akibat mengkritik Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan enggan memohon maaf.
Sementara itu, Ariff Sabri Abdul Aziz (Raub) dari DAP mengalami masalah kesihatan akibat serangan strok pada Mei tahun lalu.
Undian daripada anggota Parlimen DAP, Lim Kit Siang (Gelang Patah) pula tidak diiktiraf oleh pegawai parlimen selepas beliau dihalau keluar oleh Pandikar dari dewan sejam lebih awal.
Mereka yang tidak mengundi pada hari pengundian adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) dan Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkota) yang hadir lebih awal pada hari tersebut. Azmin adalah salah seorang anggota parlimen pembangkang membahaskan usul berkenaan.
Anggota Parlimen PKR, Datuk Johari Abdul memberitahu Malaysiakini bahawa Azmin yang juga Menteri Besar Selangor, terpaksa bergegas untuk menghadiri dewan undangan negeri yang berlangsung pada hari sama. Azmin juga merupakan ADUN Bukit Antarabangsa.
Fauzi ketika dihubungi pula mengatakan beliau keluar lebih awal kerana memprotes terhadap masa terhad kepada anggota Parlimen membahaskan laporan persempadanan semula yang disifatkannya sebagai sangat penting.
Fauzi berkata ketika menjadi timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, beliau diberi taklimat oleh SPR bahawa kawasan pilihan raya hanya boleh mempunyai sekitar 50,000 pengundi tetapi perkara itu tidak diikuti dalam laporan persempadanan semula terkini.
"Saya mahu bercakap mengenainya berdasarkan pengalaman saya, tetapi saya tidak diberi peluang. Kenapa saya harus mengundi?
"Saya tidak mengundi (bukan) sebagai protes dari parti saya tetapi kerana cara speaker melayani anggota parlimen yang ingin bercakap bagi pihak rakyat," kata Fauzi kepada Malaysiakini.
'Hadi ada temujanji penting'
Sementara itu, dua anggota parlimen dari PAS yang tidak hadir ketika hari pengundian ialah Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Marang) dan Nasrudin Hassan (Temerloh).
Ketika dihubungi, setiausaha agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu Malaysiakini bahawa Nasruddin mengambil cuti sakit.
Mengenai Hadi pula, Takiyuddin berkata presiden PAS itu menghadiri sesi pada awal hari tetapi terpaksa meninggalkan kerana urusan penting.
Semua parti pembangkang lain mencatatkan kehadiran penuh anggota parlimen mereka.
BN juga mempunyai kehadiran hampir penuh dengan hanya dua anggota Parlimen yang tidak hadir, iaitu Datuk Seri G Palanivel (Cameron Highlands) dan Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan (Keningau), yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah.
Timbalan Pengerusi Majlis Anggota Parlimen BN Datuk Bung Moktar Radin mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa kedua-duanya tidak hadir semasa pengundian dilakukan.
Tidak jelas mengapa Kittingan tidak hadir tetapi Palanivel tidak mengambil bahagian dalam perbahasan parlimen dan undian sejak digulingkan sebagai presiden MIC dan disingkirkan sebagai menteri pada tahun 2014.
Sementara itu, dua anggota parlimen BN telah meninggal dunia. Mereka ialah Zainudin Ismail (Jelebu) dan Abdul Manan Ismail (Paya Besar)
Kehadiran semasa pengundian diringkaskan dalam jadual di bawah.

