Seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah rendah di Sabak Bernam didakwa di Mahkamah Sesyen di Klang hari ini atas pertuduhan memuat naik komen jelik terhadap Polis Diraja Malaysia menerusi akaun Facebook miliknya pada 10 Mac lepas.

Tertuduh, Shahrul Nizam Maskor, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memuat naik komen jelik secara sedar terhadap agensi penguatkuasaan itu menerusi akaun laman sosial berkenaan atas nama 'Tok Uban' dengan niat untuk menyakiti orang lain.

Shahrul Nizam didakwa melakukan perbuatan itu di Sekolah Kebangsaan Simpang 4, Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam dekat sini pada 10 Mac lepas menurut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya

Mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 dan kes disebut semula pada 25 April ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Selangor Mahmoodah Ab Latiff dan tertuduh diwakili peguam M. Saravanan.

- Bernama