Ketua Umno Subang nafi tahu persempadanan baru lebih awal
Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail menafikan dakwaan beliau tahu mengenai persempadanan baru pilihan raya di negeri itu sebelum ia diluluskan di Dewan Rakyat.
Ini berikutan penganjuran Kejohanan Catur di SMK Saujana Utama Sungai Buloh pada 3 Mac lalu, selain pelancaran bilik gerakan BN di kawasan parlimen baru berkenaan.
Zein yang juga ketua Umno Bahagian Subang berkata aktiviti turun padang yang dianjurkan parti itu adalah gerak kerja awal menjelang pilihan raya umum (PRU) dan kehadiran beliau adalah atas undangan.
"Saya positif dalam melaksanakan kerja-kerja saya, tak bermakna saya tahu (persempadanan semula akan diluluskan) baru nak buat kerja. Lagi pun kehadiran saya itu atas jemputan perasmian dan bukannya saya yang terhegeh-hegeh," katanya kepada Malaysiakini.
Bermula September tahun lepas, BN Selangor melancarkan siri "Jelajah Kasih Negeriku" meliputi kesemua 22 kawasan parlimen dan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kejohanan Catur Terbuka Sungai Buloh Piala Dato' Hj Zein Isma adalah salah satu program daripada siri Jelajah berkenaan yang dimaklumkan kali kedua untuk tahun 2018.
Selain itu, BN juga melancarkan bilik gerakan bagi Parlimen P107- Sungai Buloh pada Oktober 2017 yang dihadiri pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Berdasarkan semakan, P107 sehingga 27 Mac 2018 ialah Parlimen Subang yang kerusinya diduduki oleh R Sivarasa, anggota parlimen dari PKR.
Perkara tersebut menguatkan lagi spekulasi Zien mengetahui persempadanan baru di kawasan terbabit lebih awal sebelum diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 Mac lalu.
Bagaimanapun Zein berkata BN Selangor merancang pelbagai program turun padang bukan hanya dengan menumpukan sesebuah kawasan.
"Lagi pun kita buat kerja di semua peringkat dan bukan satu-satu kawasan sahaja dan alhamdulillah dengan persempadan baru itu kita positif kita bukan nak menang satu, dua kawasan tapi kita nak menang semua tempat," katanya.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan Zein berhasrat untuk bertanding di parlimen Subang atau nama barunya kini, parlimen Sungai Buloh.
Dalam pelan persempadanan semula, kawasan parlimen baru itu kini akan memiliki kira-kira 70,000 pengundi.
Jumlah pengundi di kawasan itu berkurangan selepas DUN Bukit Lanjan yang kini di bawah Subang dipindahkan ke parlimen Damansara manakala DUN Kota Damansara serta DUN Paya Jaras pula akan diletakkan di parlimen Sungai Buloh.
Dengan mengasingkan DUN Bukit Lanjan, ia menunjukkan ‘longgokan’ pengundi Melayu di parlimen Sungai Buloh dan sekali gus memberi peluang cerah kepada BN untuk menawan kerusi parlimen dan DUN.

