Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Allah panjangkan umur agar orang itu lihat salah sendiri'
Diterbitkan:  Mar 30, 2018 4:17 PM
Dikemaskini: 8:48 AM

Seorang 'bekas pemimpin' yang sudah berusia dipanjangkan umur agar dapat melihat segala kesilapan yang pernah dilakukannya, kata timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, umur panjang diberikan Allah itu untuk memberi peluang dan kesempatan kepada bekas pemimpin itu bertaubat sebelum dipanggil ‘pulang’.

“Masih ada pemimpin yang belum berehat walaupun sudah berusia lebih sembilan dekad, kita melihat dengan jelas Allah buat keputusan memanjangkan umur seseorang. Ini tiada kaitan dengan yang hidup atau sudah mati.

“Ini untuk beri ruang melihat sendiri segala kebobrokan dan kesalahan yang pernah dilakukan. Keduanya untuk memberi peluang kepadanya bertaubat.

"Harap peluang yang kedua ini mungkin sedang dilihat individu berkenaan dan harap cukup-cukuplah,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Kunci Pangsapuri Penempatan Semula Desa Jaya di Johor Bahru hari ini.

'Apa punya manusia ni?'

Kenyataan Ahmad Zahid itu bagaimanapun mendapat kecaman daripada bekas menteri kanan, Tan Sri Rafidah Aziz.

"Apa punya manusia ni? Mempersendakan kuasa Allah dan mempermainkan usia orang lain.

"Tahukah dia, sama ada dia sendiri sempat atau tidak, nak tengok hari esok," kata Rafidah menerusi Facebooknya.

Semalam, Rafidah turut menyelar dua pemimpin Umno Datuk Seri Nazri Azi dan Tan Sri Annuar Musa selepas pandangannya menerima cemuhan dan sindiran mereka.

Sejak Mahathir Mohamad diumumkan sebagai calon perdana menteri oleh Pakatan Harapan (HARAPAN), faktor usianya terus menjadi perdebatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya tidak meletakkan masa depan negara di tangan seorang pemimpin yang sudah lanjut usia.

Minggu lepas, sebuah forum diadakan bagi membincangkan isu sama ada Mahathir yang kini berusia 93 tahun masih layak memimpin negara ini.

Mahathir berulang kali menegaskan beliau hanya akan menjadi PM sementara sehingga Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan daripada penjara setelah mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Anwar dijangka dibebaskan pada 8 Jun tahun ini.

Lihat Komen
ADS