Jika Ahmad boleh jadi menteri, tiada sebab orang lain gagal
Guna otak, dan semua orang boleh menjadi menteri, kata seorang daripada pemimpin kanan Umno hari ini.
Menurut Datuk Ahmad Maslan jika beliau mampu menjadi seorang menteri, tidak ada sebab untuk sesiapa gagal mencapai kejayaan dalam hidup masing-masing.
Syaratnya kata timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu mereka mestilah menggunakan kelebihan yang ada pada diri sendiri.
"Guna kepala otak, jangan guna kepala lutut," katanya seperti dipetik The Star Online.
Ahmad yang sebelum ini pernah dilantik Datuk Seri Najib Razak sebagai ketua penerangan Umno berkata demikian semasa berucap dalam himpunan bersama usahawan di Bukit Jalil.
Anggota parlimen Pontian itu memang popular di kalangan peminat politik, terutama kesan beberapa kenyataan dan tindakannya yang unik.
Antaranya, beliau menoreh getah, memasak sendiri hidangan di rumah serta kedekatannya dengan peneroka Felda.
Beliau juga dikenang kerana ketegasan - dan keberaniannya - menjangkakan harga banyak barang keperluan di negara ini akan turun selepas cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan.

Menurut Ahmad, 51, setiap otak manusia mempunyai satu trilion sel saraf dan setiap satu sel otak itu seumpama seunit komputer.
"Dalam satu trilion, ada 12 angka kosong. Gunakan otak anda," katanya.
Ucapan itu boleh dianggap sebagai pembakar semangat kepada peserta himpunan dan dibuat ketika negara semakin menghampiri pilihan raya umum ke-14.
Untuk rekod, semakan pantas mendapati, secara purata otak seeorang hanya memiliki kira-kira 100 bilion sel saraf, manakala satu trilion bersamaan dengan 1,000 bilion.
Pengerusi Biro Teknologi Maklumat dan Media Sosial Umno itu juga menambah, kejayaan seseorang bergantung kepada disiplin yang diamalkan.
Kata Ahmad beliau mencapai impiannya menjadi anggota parlimen 30 tahun selepas menjejakkan kaki buat pertama kali di bangunan itu semasa menyertai rombongan sekolah.
Katanya beliau melawat bangunan parlimen berkenaan pada 1978.

