Pakatan Harapan (HARAPAN) dijangka mengumumkan manifestonya bagi negeri Johor pada program ceramah mega yang dijadualkan 6 April depan di Pasir Gudang.

Pakatan pembangkang itu juga dispekulasikan akan menamakan menteri besar pilihan mereka sekiranya berjaya menawan negeri kelahiran Umno itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Bagaimanapun, HARAPAN dilihat berhati-hati untuk tidak menimbulkan ketidaksenangan hati pihak istana terutamanya Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang sekiranya terjadi boleh menjejaskan sokongan terhadap pembangkang.

Sumber yang maklum dengan situasi itu memaklumkan Malaysiakini bahawa HARAPAN Johor mengadakan mesyuarat pada Rabu lalu bagi membincangkan persiapan untuk ceramah Pasir Gudang.

"Ada perbincangan tentang sama ada mahu mengumumkan calon menteri besar pada cerama itu.

"Tapi (Presiden Parti Pribumi Malaysia) Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui wakilnya mengingatkan agar tidak membuat pengumuman tergesa-gesa.

"Ini kerana, tidak kira siapa yang dinamakan sebagai calon menteri besar, orang itu perlulah diterima baik sultan. Jadi kita belum buat keputusan (sama ada mahu buat pengumuman itu pada 6 April nanti), " kata sumber itu.

Satu lagi sumber HARAPAN mengesahkan bahawa perbincangan tentang menteri besar ada dibangkitkan dalam mesyuarat itu.

"Kita belum buat keputusan (sama ada mahu umumkan calon menteri besar). Tapi yang pasti kita akan umumkan manifesto," katanya.

Malaysiakini difahamkan bahawa Muhyiddin, yang dijangka mempertahankan kerusi parlimen Pagoh juga akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), yang boleh membuka jalan kepadanya untuk kembali menjadi menteri besar.

Muhyiddin pernah berkhidmat sebagai menteri besar Johor dari 1986 hingga 1995 sebelum dilantik untuk jawatan di peringkat persekutuan.

Difahamkan, HARAPAN Johor akan mengadakan satu lagi mesyuarat Isnin depan bagi memuktamadkan perincian akhir berhubung program ceramah di Pasir Gudang.

Menurut Facebook rasmi BERSATU Johor, ceramah itu akan menampilkan pemimpin utama HARAPAN seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Muhyiddin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

Pasir Gudang kini merupakan kubu Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin.

[Baca berita penuh]