PRU14 | Selepas didakwa sebagai wakil rakyat yang tidak menjalankan tugas dengan baik, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman Datuk Seri Johari Hussain hari ini tampil mempertahankan dirinya.

Johari berkata, dakwaan yang dilemparkan kepadanya oleh segelintir pimpinan Umno cawangan di bahagian Rompin itu merupakan satu tohmahan daripda individu yang kecewa.

Katanya lagi, perkara itu juga timbul kerana pilihan raya umum (PRU) semakin hampir dan terdapat pihak cuba melobi untuk menaikkan individu lain sebagai calon di DUN berkenaan.

"Ini adalah tohmahan seorang dua individu yang kecewa. Lebih-lebih lagi dekat PRU ini, (mereka) menjadi pelobi orang lain untuk calon DUN Tioman.

"(Ia) bukan suara akar umbi. (Ini) mainan di ambang PRU-14," katanya melalui pesanan WhatsApp kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan yang mendakwa wujud suara akar umbi yang tidak berpuas hati dengan prestasi Johari yang telah menjadi wakil rakyat DUN Tioman sejak dua penggal lalu.

Selain itu ditanya sama ada akan mempertahankan kerusi berkenaan atau tidak Johari yang juga ketua pemuda Umno bahagian Rompin hanya berkata: "Insya-Allah".

Malaysiakini sebelum ini melaporkan, wujud pihak yang tidak berpuas hati dengan Johari sehingga menggantung kain rentang yang menolak kepimpinannya di sekitar Rompin.

Kain rentang yang antaranya bertulis: "Kami pengundi DUN Tioman menolak sekeras-kerasnya kepimpinan Datuk Johari Hussain sebagai calon PRU14" itu hanya bertahan selama beberapa hari sebelum diturunkan.

Antara perkara yang disuarakan pimpinan Umno di peringkat cawangan menyatakan bahawa Johari tidak mesra dengan akar umbi serta beliau bukan daripada 'darah' Umno kerana pernah menjadi ahli PAS sebelum ini.