'Peguam tak tahu perubahan lokasi inkues kematian remaja'
Inkues kematian remaja, M Vasanthapiriya yang menggantung diri selepas dituduh mencuri iPhone milik gurunya ditetapkan pada 24 dan 25 Mei.
Namun Setiausaha NGO Tamilar Kural Malaysia, Satees Muniandy yang membantu keluarga mangsa mendakwa "mereka tidak dimaklumkan mengenai butiran inkues berkenaan".
Satees berkata dalam satu kenyataan hari ini: "Tiba-tiba pagi ini, kami mendapati bahawa inkues itu dijadualkan di Mahkamah Sesyen George Town.
"Polis Pulau Pinang sebelum ini berkata ia akan diadakan di mahkamah majistret Jawi hari ini," katanya.
Dilaporkan pada 24 Feb lalu, Jabatan Peguam Negara bersetuju dengan penubuhan inkues itu dan ia dijadualkan diadakan di Mahkamah Majistret Seberang Perai pada 30 Mac, hari ini.
Satees berkata peguam mewakili keluarga Vasanthapiriya tidak dimaklumkan mengenai perubahan tempat inkues itu.
Beliau mendakwa, guru yang terlibat dalam kes itu dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tahu mengenai perubahan tempat dan jadual inkues berkenaan.
'Mujur rakan peguam ada di mahkamah'
"Nasib baik, seorang rakan peguam ada di mahkamah, untuk bersedia, jika inkues itu bermula," kata Satees.
"Tetapi kami masih tidak dapat memahami apa yang sedang berlaku, harap pihak berkuasa serius dalam perkara ini, dan bukan hanya mengadakan inkues selepas mendapat bantahan orang awam," katanya.
Satees merujuk kepada prosiding di Mahkamah Sesyen di George Town hari ini, di mana inkues itu ditetapkan pada 24 dan 25 Mei oleh koroner Norsalha Hamzah.
Menurut pegawai inkues JG Kaameni, hari ini ditetapkan untuk sebutan bagi tarikh perbicaraan untuk prosiding inkues.
Peguam V Partipan mewakili guru terbabit dan NUTP.
Vasanthapiriya, pelajar SMK Nibong Tebal, cuba membunuh diri pada bulan Januari selepas dituduh mencuri telefon bimbit gurunya.
Vasanthapiriya menafikan mencuri telefon bimbit berkenaan dalam nota yang ditinggalkan untuk gurunya di dalam bilik di rumahnya di mana dia menggantung dirinya dengan selendang.
Bapanya bergegas membawa anak perempuannya itu ke Hospital Seberang Jaya pada 24 Januari tetapi disahkan meninggal dunia akibat kerosakan otak pada 1 Feb.
Polis menyiasat kes itu daripada beberapa sudut, termasuk cubaan bunuh diri dan kematian mengejut.
Sekurang-kurangnya 30 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan pada inkues itu.

