Anak Najib umum berundur dari politik
Anak perdana menteri Datuk Nazifuddin Najib hari ini mengumumkan "mengundur diri" daripada politik buat sementara waktu.
Dalam kenyataan di Facebook, Nazifuddin berkata keputusannya itu adalah sehingga sampai masa yang sesuai untuk bergiat semula dalam Umno.
"Bahang PRU14 semakin terasa. Saban kali saya singgah di kedai kopi, warung tepi jalan, kedai mamak, kedai tomyam hingga ke coffee house terdengar perbualan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat dan ideologi politik bercakap tentang PRU14. Masing-masing dengan telahan tersendiri.
"Secara peribadi, saya memandang PRU14 sebagai penentu kepada untung nasib, jatuh bangun sebuah pemerintah negara berteraskan Melayu bumiputera yang membawa bersama Cina dan India.
"Ini berkait langsung dengan Umno yang menerajui BN sebagai government of the day Malaysia. Maknanya, jika Umno hilang kuasa, hilanglah kuasa Melayu bumiputera yang turut memayungi Cina dan India. Aset bernilai inilah yang wajib dipertahankan oleh segenap rakyat Malaysia.
"Umpama berenang ketepian, saya menoleh ke belakang melihat liku-liku perjalanan yang telah jauh menongkah badai, gelombang dan ombak. Biar pun perit, namun sedikit pun tidak pernah timbul penyesalan kerana itu adat sebuah perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air," katanya.
Nazifuddin menambah, beliau sayang Umno kerana perjuangannya yang luhur.
"Saya sayang Malaysia kerana lahir dari perjuangan Umno. Lahir Umno kerana dokongan rakyat. Saya tidak pernah dan tidak akan menentang pucuk pimpinan Umno yang menerajui Malaysia.
"Dengan ini, saya umumkan bahawa saya mengundur diri dari arena politik buat sementara waktu hingga sampai masa yang sesuai untuk bergiat aktif semula dalam Umno," katanya.
Nazif juga menjelaskan, dalam tempoh seterusnya, halaman Facebooknya tudak akan mempunyai kemas kini berkaitan politik dan hanya menjadi halaman peribadinya.
"Justeru itu, saya merakamkan jutaan terima kasih kepada semua, terutamanya mereka yang telah menyokong sepanjang perjalanan saya selama ini," katanya.

