Dua kerusi 'istimewa' terbiar kosong ketika MCA mengadakan forum "Kebenaran Pulau Pinang" di Dewan Tan Si Eng Chuan Tong di Butterworth malam ini.

Kerusi itu sebenarnya dikhususkan untuk dua tetamu khas parti berkenaan, iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan bapanya Lim Kit Siang.

Kerusi Guan Eng diletakkan di sebelah kiri tempat yang disediakan untuk Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Di sebelah kiri kerusi Guan Eng pula ialah tempat untuk Kit Siang yang disusun berturutan dengan pemimpin MCA Pulau Pinang.

Menjelang jam 8 malam tadi, dewan itu diisi kira-kira 500 orang - kebanyakannya Cina - untuk mendengar beberapa tokoh menyampaikan ucapan.

Antara pemimpin yang berucap pada majlis forum mengenai projek terowong dasar laut Pulau Pinang itu ialah Wee sendiri yang menjadi penceramah utama.

Wee tiba di dewan itu kira-kira jam 8.45 malam.

Sementara menunggu ketibaan penceramah, layar besar yang dipadang di pentas menayangkan video mengenai projek terowong dasar laut serta klip video yang mengkritik Guan Eng.

Turut kelihatan di forum itu ialah Timbalan Pengarah Jabatan Komunikasi Strategik BN, Eric See-To yang menjadi salah seorang pengkritik tegar projek yang dilaksanakan oleh kerajaan Pulau Pinang itu.

Sekumpulan hadirin daripada Penang Front Party dilihat berada dalam dewan membawa plakad merah dengan aksara Cina bertulis: Penipu.

Majlis itu dimulakan dengan ucapan Pengerusi MCA Bagan, Dr Tan Chuan Hong yang mengecam kerajaan negeri.

[Baca berita penuh]