Guan Eng dibidas guna Bagan sebagai 'alasan' elak berdebat
Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hanya mencari alasan untuk tidak berdebat isu terowong dasar laut dengan meminta beliau bertanding di Bagan - kawasan pilihan raya pemimpin DAP itu.
Bercakap kepada wartawan selepas forum MCA mengenai terowong dasar laut di Bagan malam tadi, Wee berkata beliau telah mengajak Lim berdebat banyak kali, tetapi KM itu enggan berbuat demikian.
Wee diminta mengulas kenyataan Lim semalam bahawa beliau hanya akan membahaskan dengan menteri MCA itu jika dia bertanding di kerusi Bagan - di man Lim adalah ahli Parlimen di situ - kerana terowong itu melalui pulau (di Gurney Drive) ke Bagan Ajam, yang terletak di bawah kawasan pilihan raya.
Lim sebelum ini telah menolak jemputan awal Wee untuk berdebat dan berkata dia lebih suka berdepan dengan Presiden MCA, Liow Tiong Lai kerana Wee hanyalah pemimpin "nombor dua".
Wee, bersama Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN Eric See-To, pengerusi MCA negeri, Tan Teik Cheng dan ketua MCA Bagan, Dr Tan Chuan Hong, bercakap mengenai pelbagai isu di forum malam tadi.
Semasa forum selama tiga jam itu yang berlangsung di Persatuan Tan Si Eng Chuan Tong di Jalan Kampung Paya itu, hadirin diberi pelbagai maklumat mengenai terowong itu, kebanyakannya datang dari laporan berita mengenai subjek itu.
Wee, yang merupakan ahli Parlimen Air Itam Johor, bercakap panjang mengenai kontroversi terowong dasar laut itu, dan mengingatkan hadirin bahaw projek itu sedang disiasat SPRM, yang telah menyoal lebih 100 individu dan menahan lima pegawai tinggi.
Sementara itu, Wee berkata Lim tidak sepatutnya menolak soalannya atau cabarannya untuk berdebat dengan meminta beliau bertanding di Bagan dalam pilihan raya negara akan datang.
Wee berkata Lim mempunyai hak untuk bertanding di tempat lain, tetapi meminta seseorang - termasuk seorang menteri persekutuan yang ingin menyoalnya - bertanding di kawasannya sebelum dia boleh bersetuju berdebat, adalah tidak betul.
"Ingat bekas menteri komunikasi dan multimedia Datuk Ahmad Shabery Cheek telah mencabar ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat pada 2008," kata Wee sambil menambah bahawa Anwar tidak bercakap pun tentang protokol itu.

