Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BERSATU serah dokumen pada ROS tepat pada masa

Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) menyerahkan semua dokumen berkaitan yang diminta oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada Khamis dan oleh itu memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan pertubuhan itu.

Parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) itu bagaimanapun tetap dengan pendirian bahawa tarikh akhir sepatutnya pada 9 April, iaitu tarikh surat diterima dan bukan pada 29 Mac.

ROS menghantar notis bertarikh 28 Feb kepada BERSATU, meminta parti itu memberikan minit mesyuarat dan dokumen kewangan dalam masa 30 hari daripada tarikh berkenaan atau menghadapi risiko dibatalkan pendaftaran.

Notis itu dikeluarkan di bawah Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966.

Dokumen tambahan itu diserahkan oleh setiausaha penganjur BERSATU Kapten (B) Muhamad Suhaimi Yahya pada petang Khamis.

"Oleh itu, kami telah mematuhi apa yang diperlukan oleh ROS," katanya.

Seorang peguam yang enggan namanya didedahkan, berkata parti itu telah mematuhi sepenuhnya syarat ROS dan berharap dibolehkan secara sah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Dalam surat bertarikh 30 Mac, BERSATU menyatakan harapannya bahawa ROS akan bersikap adil dan memberikan jawapan dalam tempoh dua hari selepas ia diserahkan.

Surat itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung BERSATU, Shaharuddin Md Salleh dan dilihat oleh Malaysiakini.

Shaharuddin berkata oleh kerana semua syarat dalam notis itu telah dipatuhi, ROS tidak mempunyai sebab untuk tidak mendaftarkan HARAPAN.

Lihat Komen
ADS