Tsunami Melayu yang dikatakan bakal dicetuskan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 bergantung setakat mana gabungan itu dapat menterjemahkan sokongan rakyat kepada mereka.

Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, ini kerana akhirnya yang menentukan kemenangan sesebuah parti politik adalah melalui peti undi.

"Kita tak payah buat survey pun, kita tanya orang perasaan tak puas hati tentang kos sara hidup, kenaikan harga barang, itu merupakan satu perkara yang merata dalam kalangan rakyat.

"Persoalannya sama ada ini akan diterjemahkan melalui undi dan itu isunya.

"Dan kembali kepada persoalan asas adakah tsunami (Melayu) itu berlaku bergantung kepada sejauh mana Tun M (Tun Mahathir Mohamad) dan Pakatan Harapan mampu menterjemahkan perasaan tak puas hati (kaum Melayu) kepada undi.

"Sebab akhirnya yang menentukan siapa menang siapa kalah adalah di peti undi, bukan datang ceramah atau tak puas hati," katanya.

Redzuan berkata demikian ketika ditemui selepas ucapan perasmian Seminar Nasional Maqasid Syariah 2018, Dewan Sivik Majlis Bandar Raya Petaling Jaya (MBPJ), hari ini.

'Ramai tak gambarkan sokongan'

Pemimpin HARAPAN sebelum ini menyatakan keyakinan bahawa gabungan itu bakal menarik undi Melayu, sekali gus mencipta 'tsunami' pada PRU14.

Ribuan menyaksikan ceramah HARAPAN di Guar Chempedak di Kedah, pada 29 Mac lalu misalnya dijadikan ukuran tahap sokongan Melayu kepada gabungan berkenaan.

Bagaimanapun, Redzuan yang juga Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) berkata jumlah kehadiran yang ramai dalam sesuatu ceramah tidak menggambarkan kemenangan sesebuah parti pada PRU.

"Kita lihat pada 1999 ketika berlaku reformasi kehadiran lebih daripada itu. Puluh-puluh ribu malah ratus ribu tetapi dalam pilihan raya 1999 PKR hanya menang lima kerusi Parlimen sahaja.

"Bermakna datang program ramai itu tidak semestinya menggambarkannya (kemenangan) tetapi ia boleh menjadi indikasi bahawa adanya pergerakan (sokongan).

"Tetapi untuk menjadikan itu satu kesimpulan saya kira tidak boleh kerana akhirnya yang menentukan kemenangan adalah yang pergi kepada peti undi," katanya.