Anak Najib, Mahathir ketepi perbezaan politik
Meskipun bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini merupakan seteru politik, ia bukan alasan untuk anak-anak mereka tidak saling menghormati.
Melalui kenyataan di Facebook, Datuk Nazifuddin Najib berkongsi gambar yang memaparkannya bersama Mirzan Mahathir.
"Walaupun ideologi politik kami berbeza akan tetapi demi sukan negara kami tetap bersatu. Seronok bertemu dengan Presiden Tenis Malaysia Mirzan Mahathir," katanya.
Nazifuddin merupakan naib presiden majlis olimpik Malaysia, sementara Mirzan adalah presiden Persatuan Lawn Tenis Malaysia.
Jumaat lalu, Nazifuddin mengumumkan "berundur" dari politik buat sementara waktu.
Saya sayang Malaysia kerana lahir dari perjuangan Umno. Lahir Umno kerana dokongan rakyat. Saya tidak pernah dan tidak akan menentang pucuk pimpinan Umno yang menerajui Malaysia.
"Dengan ini, saya umumkan bahawa saya mengundur diri dari arena politik buat sementara waktu hingga sampai masa yang sesuai untuk bergiat aktif semula dalam Umno," katanya.
Dr Mahathir, yang merupakan perdana menteri Malaysia selama 22 tahun sehingga meletakkan jawatan pada 2003, kini bersama barisan pembangkang dan merupakan antara pengkritik kuat Najib.
Najib yang menafikan sebarang penyelewengan dana untuk kepentingan peribadi mendakwa tindakan Dr Mahathir itu sebagai percubaan menjadikan anaknya perdana menteri.

