Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRU14 I Hampir lima tahun yang lalu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron mengancam akan menutup Jonker Walk yang merupakan tarikan pelancongan terkenal di dunia.

Kenyataan itu dibuat sebagai tindak balas politik selepas para pengundi menyebabkan prestasi terburuk BN dalam sejarah pilihan raya.

Selepas campur tangan kerajaan, Idris kemudian menafikan niat sedemikian dan mendakwa beliau hanya mahu jalan di Jonker Walk dibuka pada hujung minggu, yang sudah tentunya akan mengganggu operasi pasar malam di kawasan itu.

Kemarahan Idris itu bukanlah disebabkan kerana pembangkang berjaya menawan parlimen Kota Melaka pada Pilihan Raya Umum Ke-13, yang merupakan kubu kuat DAP, di mana Jonker Walk terletak dalam kawasan parlimen berkenaan.

Kemarahan itu lebih banyak disebabkan kekalahan mentornya yang juga bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam di kawasan parlimen Bukit Katil (dinamakan semula Hang Tuah Jaya pada PRU14).

Bukit Katil merupakan tempat kelahirannya dan tidak pernah jatuh ke pembangkang sebelum ini.

Berikutan itu, DAP dan MCA saling bersaing dalam mempertahankan para peniaga di sana.

Menjelang PRU14 yang dijangka diadakan dalam beberapa minggu saja lagi, Malaysiakini berpeluang bercakap dengan para peniaga di Jonker Walk mengenai apa yang berlaku lima tahun lalu dan harapan mereka pada pilihan raya akan datang.

Rata-rata mereka marah apabila mendapat tahu Jonker Walk akan ditutup tetapi bagi kebanyakan mereka, emosi itu telah reda kerana MCA, dengan sokongan kerajaan negeri, terus membina tempat pelancongan popular berkenaan.

"Kami marah, tapi sekarang semuanya aman, tak ada masalah sekarang, jadi kami tidak menyimpannya dalam hati," kata Tay Cho Bu, 58 yang mengusahakan kedai minuman.

Ini diikuti seorang peniaga lain yang hanya mahu dikenali sebagai Anthony, yang mengakui dia juga marah pada mulanya.

"Saya memang marah tetapi ia telah berlalu. Masyarakat kita harus belajar apa yang berlaku pada masa lalu dan mengawal emosi kita," kata Anthony, yang menjual makanan ringan.

Bagaimanapun, usaha kerajaan negeri menebus kesilapan tidak dapat menenangkan semua orang kerana masih ada segelintir yang tidak dapat menerima ancaman untuk menutup Jonker Walk.

"Saya tetap berasa sedikit marah. Mengapa mereka mahu tutup?" kata Yong yang berusia dalam lingkungan 40-an.

Penjual cermin mata hitam itu berkata dia akan menentang jika ada percubaan menutup Jonker Walk berulang lagi selepas PRU14.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS