China: Stesen angkasa terbakar di Pasifik Selatan
GLOBAL I Stesen angkasa lepas China, Tiangong 1 akan memasuki semula atmosfera bumi dan terbakar di kawasan tengah Pasifik Selatan pada Isnin, kata pihak berkuasa angkasa lepas Cina.
Stesen itu memasuki semula atmosfera pada pukul 8:15 waktu Beijing dan terbakar, kata pihak berkuasa itu dalam satu kenyataan ringkas di laman webnya.
Ia sebelum ini dijangka memasuki semula atmosfera dari pantai Brazil di Atlantik Selatan berhampiran bandaraya Sao Paulo dan Rio de Janeiro, lapor Reuters.
Beijing pada Jumaat lalu berkata tiada kemungkinan stesen itu akan terhempas di daratan.
Tiangong-1 sepanjang 10.4 meter itu dilancarkan pada tahun 2011 untuk melakukan misi berlabuh dan eksperimen di orbit sebagai sebahagian daripada program angkasa lepas China bagi menempatkan sebuah stesen angkasa lepas tetap di orbit Bumi menjelang 2023.
Makmal angkasa lepas itu pada asalnya dirancang menamatkan operasi pada 2013 tetapi misinya berulang kali dilanjutkan.
China pernah menyatakan bahawa kemasukan semula itu akan berlaku hujung tahun lalu tetapi proses itu tertangguh lagi, mengakibatkan sebilangan pakar membayangkan makmal angkasa lepas itu hilang kawalan.
Tabloid Cina Global Times pada Isnin melaporkan media seluruh dunia cuba menggembar gemburkan isu mengenai kemasukan semula itu kerana "perasaan cemburu" terhadap industri angkasa China.
"Ia perkara biasa kapal angkasa memasuki semula atmosfera, tetapi Tiangong 1 menerima terlalu banyak perhatian kerana beberapa negara Barat cuba untuk mengembar-gemburkan dan cemburu dengan industri aeroangkasa pesat membangun China," katanya.

