Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bukan semua penjawat awam, polis, tentera, tali barut Umno

ULASAN I Ada orang marah dan melemparkan berbagai-bagai tuduhan terhadap kakitangan awam khususnya anggota polis. Majoriti anggota polis sekadar menjalankan perintah.

Mereka marah kepada polis kerana menangkap penentang-penentang kerajaan dan menghalang kegiatan yang dianjurkan oleh parti-parti pembangkang.

Begitu juga dengan penjawat awam. Mereka turut dituduh berlaku tidak adil terhadap pembangkang.

Memang ada kakitangan awam khususnya yang berpangkat tinggi yang bermain politik dengan menjadi ejen dan kuda tunggangan Umno/Barisan Nasional (BN).

Malah kita tahu ada antara mereka yang dilantik khusus untuk melindungi Perdana Menteri, Najib Razak, anggota Kabinet dan para pembesar Umno/BN daripada pelbagai dakwaan jenayah.

Kita sudah lebih daripada maklum mengenai skandal pemecatan Peguam Negara, (Tan Sri) Gani Patail pada tahun 2015 atas alasan beliau tidak sihat semata-mata untuk menyekat tindakan mahkamah ke atas kes-kes berkaitan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Beliau bukan setakat segar-bugar malah mampu kembali mengamalkan kerjaya guaman dengan membuka syarikat guaman sendiri pada tahun 2016. Dan kita tahu semua keputusan AG baru, (Tan Sri) Mohamed Apandi Ali, bersangkutan 1MDB adalah bagi melindungi Najib.

Melindung Najib

Kita juga tahu pelantikan dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Kehakiman dilakukan atas dasar politik.

Begitu juga dengan pelantikan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan dan beberapa jawatan utama lain yang dibuat atas pertimbangan politik khususnya untuk melindungi Najib.

Adalah tidak adil dan tidak masuk akal kita membuat andaian dan menuduh bahawa kesemua 1.6 juta anggota perkhidmatan awam, polis dan tentera adalah tali barut Umno/BN.

Sebaliknya saya yakin ramai daripada mereka bersikap berkecuali dan profesional. Mereka tidak mencampuradukkan tugas mereka sebagai penjawat awam dengan politik kepartian.

Tetapi apabila pegawai-pegawai atasan mereka menjadi tali barut dan kuda tunggangan Umno/BN, sedikit sebanyak mereka turut terseret dan terpalit.

Saya amat yakin ramai anggota polis, pendakwa raya dan kakitangan penjara keberatan untuk bertindak terhadap penentang kerajaan. Mereka terpaksa bertindak kerana arahan daripada ketua-ketua mereka yang pro-Umno/BN atau yang tidak profesional.

Turut terasa beban GST

Kita tahu ada di kalangan penjawat awam yang mempunyai perkiraan lain selain daripada berkhidmat untuk rakyat jelata seperti kenaikan pangkat, anugerah dan gelaran.

Saya sendiri, melalui pembabitan saya dalam politik sejak dua tahun kebelakangan ini, mendapati ramai anggota polis bertindak secara profesional apabila ditugaskan untuk memantau dan melaporkan mengenai ceramah-ceramah politik.

Sebenarnya mereka tahu lebih daripada rakyat biasa mengenai apa yang sedang berlaku di tempat-tempat kerja mereka seperti pemotongan peruntukan, kekurangan, kelengkapan dan campur tangan orang politik.

Mereka juga pastinya mendengar keluhan rakyat jelata dan turut berasa beban GST, kejatuhan nilai mata wang dan kenaikan kos sara hidup.

Natijahnya, seperti rakyat lain mereka juga merasa kesempitan hidup dan pelbagai masalah yang timbul akibat pengurusan ekonomi dan kewangan yang lemah, rasuah dan menyeleweng.

Gula-gula pilihan raya dan ancaman bahawa undi mereka diketahui oleh kerajaan tidak akan memberi kesan sekiranya mereka faham yang gula-gula yang mereka terima itu adalah hasil keringat mereka sendiri dan undi tidak dapat dikesan kepada individu.

Mereka juga boleh membandingkan bagaimana rakan-rakan mereka di dua buah negeri yang diperintah oleh pembagkang iaitu Selangor dan Pulau Pinang menikmati ganjaran yang lebih baik.

Melainkan mereka memilih untuk menjadi pemakan dedak dan kuda tunggangan Umno/BN, kakitangan awam akan kekal profesional, berkecuali dan akan mengundi dengan bebas.

Wallahuaklam.


DATUK A KADIR JASIN adalah bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd. Beliau kini bergiat dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai pimpinan pusat parti itu.

Rencana ini pertama kali dimuat naik di blog beliau dengan tajuk "Majoriti Kakitangan Awam Profesional dan Berkecuali". Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS