Mahkamah Persekutuan akan mendengar permohonan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin untuk merayu dalam kes kenyataannya berkaitan “main belakang” terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sepuluh tahun lalu, pada 19 Jun depan.

Tarikh itu kebetulan jatuh 11 hari sebelum bekas ketua pembangkang itu dijadual bebas daripada Penjara Sungai Buloh setelah disabit kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhar Azlan.

Khairy yang juga ketua Pemuda Umno merayu terhadap perintah membayar ganti rugi RM150,000 berserta kos RM60,000 kepada Anwar.

Tarikh itu diputuskan selepas pengurusan kes hari ini.

Perkara itu disahkan oleh peguam Anwar J Leela.

Difahamkan peguam Khairy, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, telah membangkitkan tiga persoalan undang-undang berhubung cara pemfailan notis rayuan.

Februari lalu, panel tiga anggota Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Khairy dan memutuskan rayuan difailkannya sebagai “kabur dan cacat”.

September lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan memutuskan Khairy memfitnah Anwar kerana berkata Anwar “main belakang” dalam ceramah di ibu negara menjelang pilihan raya umum 2008.

Zahid dalam jawapan bertulis parlimen bulan lalu dilapor mengesahkan Anwar akan dibebaskan pada 8 Jun, seperti ditetapkan Jabatan Penjara.

Bagaimanapun, katanya, tarikh boleh berubah jika banduan melakukan kesalahan tata tertib penjara, menyebabkan pelucuthakan remitan bawah Peraturan-Peraturan Penjara 2000.