Anggota Parlimen Segambut, Lim Lip Eng hari ini mempersoalkan tindakan polis yang membebaskan Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar kurang 24 jam meskipun ujian air kencingnya didapati positif dadah.

Selain itu, Lim juga mencabar pemimpin Umno itu supaya membuat laporan polis dan aduan ke SPRM berhubung dakwaan bahawa dirinya ‘diperangkap” susulan serbuan di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur, Isnin lalu.

“Saya hairan bagaimana Rizalman berkata beliau dan rakan-rakannya hanya minum kopi Nescafe dan minuman ringan di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur tetapi ujian air kencing mereka didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Saya justeru mencabar Rizalman dan rakan-rakannya supaya membuat laporan polis dan mengadu ke SPRM dalam tempoh 24 jam tentang dakwaan ‘perangkap’ atau ‘game plan’ itu.

“Jika tidak, mereka wajar meminta maaf kepada pihak polis dan SPRM,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beri penjelasan

Rizalman, Selasa lalu, tampil memberi penjelasan kepada pemimpin bahagiannya mendakwa serbuan oleh polis dan SPRM itu "sangat mencurigakan".

Katanya, pihak berkuasa terus menuju ke bilik karaoke 202 tempat beliau dan rakan-rakannya sedang berhibur tanpa memeriksa bilik-bilik lain.

Mereka kemudiannya di bawa ke balai polis untuk pemeriksaan air kencing dengan disaksikan sendiri oleh pegawai SPR.

Beliau turut menegaskan bahawa dia dan rakan-rakannya hanya memesan dan minum Nescafe 3-in-1 ketika di kelab malam itu serta tidak mengambil apa-apa dadah.

Walau bagaimanapun, sebelum ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Shaharudin Abdullah berkata, semua mereka gagal dalam ujian air kencing.

Pemeriksaan awal mendapati suspek terbabit positif dadah amphetamine dan methamphetamine.

Semua suspek kemudian dibebaskan kurang 24 jam selepas ditahan.

Mengulas lanjut, Lim yang juga seorang peguam berkata, tempoh tahanan kurang 24 jam ke atas Rizalman oleh pihak polis kini merupakan kes teladan (precedent) di Malaysia.

Arahan siapa

Katanya, kes berkenaan kini boleh dirujuk di mahkamah oleh para peguam untuk memohon supaya suspek yang disyaki menyalahgunakan dadah dibebaskan lebih awal.

“Sebelum kes Rizalman yang dilepaskan dengan begitu cepat walaupun ujian air kencingnya didapati positif dadah, pihak polis selalu memohon tahanan reman ke atas suspek kaki dadah sehinggalah laporan kimia selesai.

“Kemudian suspek didakwa di mahkamah sekiranya keputusan laporan kimia masih didapati positif, itu sahaja boleh mencecah seminggu dalam lokap.

“Atau pihak polis menahan reman suspek terbabit untuk sekurang-kurangnya beberapa hari sehingga siasatan terhadap pembekal dadah berkenaan selesai,” katanya.

Sambil menyatakan beliau tidak menyalahkan pihak polis kerana begitu cepat sekali membebaskan Rizalman, namun pemimpin DAP itu melemparkan beberapa soalan.

“Kita faham, ada arahan dari atas. Tetapi Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mesti menjelaskan siapakah gerangan yang memberi arahan supaya Rizalman dibebaskan kerana ini jauh menyimpang daripada amalan biasa pihak polis.

“Adakah Rizalman satu-satunya suspek yang dibebaskan kurang 24 jam selepas ditangkap atau adakah semua rakan-rakannya yang turut ditangkap juga dibebaskan bersama-sama beliau?”soalnya.

Lim juga mencadangkan Bukit Aman supaya menyiarkan rakaman video proses tangkapan Rizalman dan rakan-rakannya di berita TV seperti yang lazim dilakukan dalam operasi tangkapan besar-besaran.

Semalam, pada sidang akhbarnya, Rizalman mendakwa beliau disabotaj dan kejadian itu adalah satu perangkap untuk menjejaskan peluangnya menjadi calon BN bagi kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Secara tradisi, BN menyerahkan kerusi itu kepada MCA untuk ditandingi tetapi akhir-akhir ini akar umbi Umno melobi agar kerusi majoriti Melayu berkenaan diberikan kepada parti tersebut.