Paling Popular
Terkini

PULASAN l Era sejenis ketakutan yang difahami generasi muda pada era 1990-an dulu sudah lama berakhir.

Ia adalah tempoh yang semua artis kena sangat berhati-hati atau terpaksalah menderita kerana tidak mendapat tempat di media massa.

Ada banyak pantang ketika itu. Terlalu banyak, sebenarnya.

Kini keadaan memang berbeza. Aishah dan Fan Clubnya yang ligat suatu ketika dulu bukanlah Aishah yang kita saksikan di Gegar Vaganza 4 (GV4) pada tahun lalu.

Antara Aishah era Janji Manismu dan Camar Yang Pulang dengan Aishah juara GV4 wujud satu waktu untuk orang ramai melihat penyanyi itu sebagai watak yang 'lain'.

Aishah yang hadir di antara dua era berkenaan ialah Aishah seorang ahli politik. Dia malah dipilih menjadi calon pilihan raya umum (PRU).

Kalau menjadi calon Umno, ia bukanlah isu langsung. Tapi Aishah itu turun ke medan tempur politik sebagai calon parti pembangkang.

Dia kalah atau menang di Jempol pada PRU ke-13 lalu adalah cerita lain. Apa yang penting, suara Aishah dapat didengar dari semasa ke semasa. Begitu juga dengan kelibatnya di media massa.

Aishah yang pernah melawan Umno hingga kini tidak ada halangan muncul di stesen TV.

Bayangkan kalau dia bangkit melawan rejim yang dulu, yang 15 atau 20 tahun dulu.

Mana-mana pemimpin politik, dapat difahami bahawa dia akan dikelilingi oleh penyokong tersendiri. Sama ada tegar atau berhelah, ia adalah isu yang lain.

Kadang-kadang sokongan itu nampak benar kukuhnya. Justeru suatu ketika dulu kita melihat bagaimana menteri yang menjaga hal ehwal hiburan bertegas menentukan disiplin artis. Tidak boleh berambut panjang, misalnya.

Kena tanggung, kemudian jawab

Tidak dapat dipastikan sama ada peraturan itu sesuai dengan selera perdana menteri pada waktu berkenaan. Pedulilah, kan, sebab ia sudah dikuatkuasakan.

Sama halnya dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Undang-undang keras itu dikaitkan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. Berapa ramai pengkritik kerajaan menjadi mangsa ISA dan Dr Mahathir itulah yang diumpat keji setiap hari.

Apabila dia sudah tidak lagi berkuasa - dan menjadi sasaran rejim sekarang - barulah orang ramai diceritakan bahawa anak Kedah berkenaan sendiri tidak senang dengan ISA.

Ada pihak lain - kalau mengikut kisah yang diriwayatkan Dr Mahathir sendiri - yang bertegas mahu orang itu dan orang ini di-ISA-kan.

Memanglah sebagai perdana menteri dia bertanggungjawab. Sebagai Menteri Dalam Negeri, lagilah dia kena tanggung dan mesti jawab.

Tapi politik di Malaysia ini, wujudkan sikap bertanggungjawab? Bilakah kali terakhir kita melihat seorang ahli politik boleh dipuji kerana pertanggungjawabannya?

Pedulilah. Apa yang mahu saya katakan ialah, dalam mana-mana era akan ada saja orang penting yang menjadi pengampu. Kalau ikut bahasa dan budaya timur yang penuh kiasan, ungkapannya ialah "lebih sudu daripada kuah".

Kuah cuma ada empat lima kali hirup tapi sudunya ada hingga 20 batang.

Entah bubar entah tidak parlimen hari ini. Ikut cakap-cakap pakar tidak bertauliah, parlimen akan bubarlah. Perdana menteri kalau ditanya, tetaplah tersenyum manja dan masih gemar berteka-teki seolah-olah kita tidak ada kerja lain kecuali memerah otak memikirkan tarikh PRU.

Sepanjang tempoh panas berbahang di ambang PRU ini apa saja tindakan kerajaan dan agensinya akan ditafsir mengikut mata politik.

Mungkin ada keputusan diambil oleh mana-mana jabatan adalah ikhlas dan jernih, tapi ia akan tetap dikaitkan dengan PRU. Tetapi siapa yang dapat memujuk hati jika keputusan berkenaan menyusakan musuh kerajaan secara langsung.

Kerajaan itu Umno

Mungkin perdana menteri dan menteri-menterinya tidak memberi arahan itu ini, tapi ia akan ditafsir juga sebagai kehendak perdana menteri atau menteri.

Dan siapa dapat menafikan mungkin langkah sesuatu jabatan kerajaan itu dibuat memang 110 peratus ikhlas. Sekurang-kurangnya mengikut tafsirah ketua jabatan terbabit.

Mereka mungkin bersungguh-sungguh mahu berkhidmat demi kerajaan. Dan kalau mengikut fahaman kebanyakan kita, kalau namanya kerajaan, di Malaysia ia wajiblah Umno. Kemudian barulah MCA, MIC, Gerakan atau yang lain-lain.

Ia boleh ditafsir sebagai kipas yang berputar ligat untuk meniupkan angin bagi memberi keselesaan kepada "kerajaan". Namun di benak orang yang membuat keputusan menyukarkan pembangkang itu, ia mungkin berlabel "berkhidmat untuk negara". Ikhlaslah namanya itu pada dia.

Sama ada ia sejenis sokongan yang menguntungkan "kerajaan" atau sekadar dukungan membawa rebah, ia adalah sifir yang terbuka kepada situasi semasa.

Perdana menteri atau menteri bolehlah terus senyum dengan silat jabatan-jabatan kerajaan yang ada. Cuma kita perlu sedar masyarakat semakin berubah. Maklumat semakin banyak dan rencam. Tafsirannya juga bersifat dinamik.

Kata orang tua, senyum banyak di awal pagi waktu boleh saja menyebabkan tangis di waktu petang.

Sementara menunggu parlimen dibubarkan dan PRU dilangsungkan, diyakini akan ada lebih banyak kejadian aneh yang berlaku secara kebetulan memberi keuntungan kepada "kerajaan".

Bertabahlah semua. Ada banyak lagi sandiwara akan dipentaskan di depan mata seminggu dua ini.

Moral dan tanggungjawab? Apa benda tu? Sejenis rendang atau formula kopi segera yang baru?


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.

Lihat Komen
ADS