'Sifir politik PAS elak kemelut berpanjangan'
Sepanjang penggal Parlimen kali ini PAS telah berjaya menjadi pihak yang mengekalkan kestabilan politik dan kesejahteraan negara, menurut badan pemikir parti itu.
Pusat Penyelidikan PAS (PPP) berkata, ia berkat kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai 'nakhoda' dalam membuat keputusan yang bijak setiap kali tercetusnya konflik politik.
"PAS lulus dengan cemerlang dalam memainkan peranan sebagai pencatur utama politik Malaysia," kata Pengarah PPP Dr Mohd Zuhdi Marzuki dalam kenyataan yang disiarkan Harakahdaily hari ini.
Beliau menyenaraikan beberapa konflik politik sepanjang 2013 hingga 2018, bermula dengan usaha Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik selepas PRU ke-13.
Pakatan Rakyat yang diketuai Anwar pada masa itu berusaha mendapatkan sejumlah anggota parlimen BN untuk 'melompat' dan seterusnya menjafikan majoriti BN di Parlimen.

Ketika itu, kata Zuhdi (gambar), Hadi digesa oleh beberapa bekas pemimpin parti - yang kini bersama Pakatan Harapan - untuk bersetuju dengan cadangan itu.
"Presiden mendengarnya dengan berhati-hati dan lebih cenderung agar Pakatan Rakyat kekal sebagai pembangkang seperti dimandatkan rakyat," katanya.
Beliau kemudian menyentuh konflik kepimpinan di Selangor pada 2014 serta Kedah dan Terengganu pada 2016, apabila menteri besar ketika itu diancam hilang sokongan di Dewan Undangan Negeri.

Di Selangor, katanya, Hadi bertegas mahu Tan Sri Khalid Ibrahim kekal sebagai menteri besar kerana pentadbirannya yang cemerlang dan kepentingan rakyat perlu diutamakan berbanding kehendak parti.
Beliau berkata, keputusan sama dibuat ketika Datuk Seri Mukhriz Mahathir hilang sokongan sebagai menteri besar Kedah dan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul rahman sebagai menteri besar Terengganu.
Hanya dengan pilihan raya
Konflik itu menyaksikan Khalid dan Mukhriz digantikan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah , Ahmad Razif bagaimanapun terselamat dan kekal sebagai menteri besar.
Akhir sekali Zuhdi membangkitkan seruan undi tidak percaya yang dicadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Najib pada 2015, yang juga dibantah PAS demi rakyat.
"Presiden tidak setuju dengan (semua cara itu). PAS berpendirian seseorang ketua kerajaan yang diberi mandat secara pilihan raya perlu ditukar melalui pilihan raya juga," kata Zuhdi.
Dengan politik matang dan sejahtera yang diamalkan PAS, kata Zuhdi, rakyat dan negara diselamatkan daripada kemelut politik berpanjangan.
"Sekarang tiba masanya rakyat memberi mandat semula kepada mana-mana gabungan parti, mereka pasti boleh melihat kematangan PAS dalam berpolitik," katanya lagi.

