Najib, angka 11 dan pembubaran Parlimen
Ramai yang dapat mengesan betapa angka 11 mempunyai tempat yang amat istimewa di hati Datuk Seri Najib Razak – yang sememangnya diketahuai ramai merupakan angka kegemaran beliau – apabila beliau memilih tarikh bagi pembubaran Parlimen.
Semalam, ketika mengumumkan pembubaran Parlimen yang berkuat kuasa hari ini, Perdana menteri nampaknya menggemari angka itu memandangkan hari ini adalah 7 April, dan apabila 4 dicampur 7, maka jumlahnya ialah 11.
Berdasarkan logik yang sama, sesetengah orang terus meramalkan bahawa pilihan raya umum ke-14 berkemungkinan akan diadakan pada 29 April, yang sekali lagi akan menyaksikan kewujudan angka 11 iaitu jumlah yang akan didapati apabila 2 dicampur dengan 9.
Najib pernah menjelaskan kenapa 11 begitu istimewa bagi beliau – Allahyarham ayahanda beliau, Tun Abdul Razak Hussein lahir pada 11 Mac 1922; bondanya, Tun Rahah Noah lahir pada 11 Jun 1933; anak sulung beliau juga lahir pada 11 haribulan; dan Umno diasaskan pada 11 Mei 1946.
Najib pula adalah menteri besar Pahang ke-11 dan bergelar Orang Kaya Indera Shah Bandar Ke-11.
Menurut laporan, beliau mempunyai kenderaan rasmi yang menggunakan nombor pendaftaran khas dengan angka 11.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata beliau telah menerima Proklamasi Perisytiharan Pembubaran Parlimen ke-13 daripada Najib berdasarkan Perkara 55 (2) Perlembagaan Persekutuan.
Pandikar berkata urusan bagi mengadakan PRU14 adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Sementara itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah mengesahkan telah menerima notis pembubaran itu melalui e-mel untuk mengadakan mesyuarat khas bagi menentukan tarikh-tarikh penting PRU14.
Sejumlah 14.9 juta pemilih berdaftar layak mengundi pada PRU14 berdasarkan kepada Daftar Pemilih Suku Keempat 2017.
- Bernama

