Nik Abduh akui khilaf dakwa Nik Aziz tak pernah saman
Ahli Jawatankuasa PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengakui wujud kesilapan dalam kenyataan mengenai ayahandanya.
Nik Abduh berkata, beliau menerima teguran Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Hisham Fauzi yang menafikan pernyataan lisannya di parlimen, baru-baru ini.
"Saya terkhilaf untuk mengingati kes saman tersebut. Ia mungkin kerana ia tidak panjang dan berjaya diselesaikan di luar mahkamah selepas itu. Saya akui kesilapan.
"Apa pun, butiran yang saya ingin pertegaskan ialah sepanjang puluhan tahun sejarah perjuangan ayahanda yang dipenuhi tuduhan dan fitnah ke atasnya, beliau hanya memilih untuk menafikannya dan menganggap ia kemuncup perjuangan.
"Saman bukan pilihan pertamanya, mahkamah Allah adalah lebih menenangkan hatinya," katanya melalui kenyataan di Facebook, semalam.
Malaysiakini Khamis lalu melaporkan Nik Abduh tidak akan membuat laporan polis dan bersumpah atas nama Allah berhubung penyebaran rakamam audio yang didakwa mirip suaranya.
Beliau menegaskan bahawa beliau sudah berkata benar dan menyerahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian terhadap isu tersebut.
Keputusan itu katanya dibuat sepertimana cara ayahnya iaitu Allaharyam Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menangani fitnah sepanjang karier politiknya yang menurut Nik Abduh tidak pernah menyaman pihak yang memfitnah.
Bagaimanapun kenyataan Nik Abduh itu disanggah Hisham yang mendakwa Nik Aziz pernah mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memfitnah.
Sementara itu, Nik Abduh mengucapkan terima kasih kepada Hisham atas teguran tersebut sambil memetik kata-kata hukama' (cendekiawan).
"Fitnah senjatanya adalah diam, kembali kepada Allah dan mengadu kepada-Nya. Itu, sehinggalah pilihan kedua menjadi pilihan hati.
Terima kasih saudara Hisham Fauzi. Semoga Allah merahmati tuan," katanya.

