Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Dituduh dapat duit Umno, Hadi: Fikirlah yang munasabah

PRU14 | PAS mencabar bekas naib presiden mereka Datuk Mahfuz Omar untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya mempunyai bukti parti berkenaan menerima dana daripada Umno.

“Kalau dia merasakan apa yang dia katakan itu betul dan ada unsur-unsur rasuah, saya cabar buat laporan SPRM kalau dia rasa ada unsur rasuah," kata Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

Menurut Takiyuddin dalam hal seumpama itu tanggungjawab untuk menentukan sesuatu dakwaan terletak kepada pihak yang membuat tuduhan.

“Bukan kita (yang kena) nafikan tapi dia (perlu) buktikan,” katanya semasa menjawab soalan wartawan di Hotel De Palma, Shah Alam malam tadi.

Mahfuz dilaporkan portal Malaysiadateline sebagai berkata terdapat tiga orang pemimpin PAS Terengganu menerima wang sebanyak RM1 juta daripada pemimpin Umno tertentu.

Beliau yang kini dilantik sebagai naib presiden AMANAH juga menamakan tiga individu yang menjadi pemimpin PAS Terengganu sebagai pemegang amanah kepada dana berkenaan.

Enggan layan tuduhan

Selain itu Mahfuz turut mendakwa sejumlah RM1.5 juta juga dimasukkan ke akaun salah satu jabatan PAS Pusat.

Kata anggota parlimen Pokok Sena itu beliau membuat semakan mengenai hal tersebut dengan pegawai di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur dan mereka mengesahkan bahawa wang sejumlah itu memang telah dimasukkan ke akaun berkenaan.

Sementara itu dalam sidang media sama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut berseloroh bagi menjelaskan keadaan berkenaan.

Kata Abdul Hadi, adakah PAS menerima duit daripada Umno untuk menentang parti itu sendiri.

“Umno bagi duit untuk lawan dia. Kita letak 130 calon dan PAS banyak bertanding kawasan Umno bukan kawasan DAP.

"Jadi (adakah) Umno bagi duit untuk lawan Umno? Fikirlah yang munasabah,” katanya.

Abdul Hadi juga tidak bercadang untuk mengambil tindakan saman ke atas Mahfuz kerana tindakan itu dilihat tidak matang.

“Saya rasa itu kebudak-budakan, satu hujah kebudak-budakan yang kita rasa bodoh kalau kita layan. PAS ambil duit Umno untuk lawan Umno, cerdik ke?” katanya.

Lihat Komen
ADS