Akhbar: Sekolah diberi amaran selepas benar DAP guna dewan
Sebuah sekolah menengah persendirian di Johor mendakwa telah diberi amaran kerana membenarkan DAP mengadakan majlis dan acara parti itu di dewan sekolah berkenaan.
Akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily melaporkan bahawa Sekolah Menengah Pei Chun (Persendirian) menerima surat amaran dari Jabatan Pendidikan Johor Bahru pada 5 April lalu.
Surat itu dikatakan memberi amaran bahawa pentadbiran sekolah di Pontian itu boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara, atau kedua-duanya sekali, sekiranya mereka menyewa dewan sekolah kepada DAP. Peruntukan undang-undang itu tidak dinyatakan dalam artikel berkenaan.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) sekolah berkenaan, Lim Jing Fu memberitahu akhbar itu bahawa mereka juga menerima amaran lisan dari jabatan itu.
"Selain menerima surat amaran dari Jabatan Pendidikan Johor Bahru, seorang pegawai pendidikan sebelum ini datang ke sekolah itu dan secara lisan menasihatkan kami untuk tidak menyewakan dewan sekolah kepada DAP," katanya.
Majlis itu berlangsung malam semalam, dengan DAP tidak mengibarkan sebarang benderanya di dewan itu dan berjanji bahawa tidak lagi akan menyewa dewan tersebut pada masa depan.
Malaysiakini sedang berusa mendapatkan maklum balas mengenai dakwaan itu daripada jabatan pendidikan daerah Johor Bahru.
Lim juga mendakwa bahawa sekolah itu tidak diberikan sebarang surat amaran ketika menyewakan dewan yang sama untuk parti-parti komponen BN, Gerakan dan MCA pada bulan lalu.
"Dewan Sekolah Menengah Pei Chun sentiasa terbuka untuk mana-mana parti politik.
"Selagi acara mengikuti garis panduan dan tidak melibatkan kegiatan yang menyalahi undang-undang, sekolah mengalu-alukannya," katanya kepada akhbar itu, sambil menambah bahawa ini menjadi norma sejak dekad lalu.
Lim berkata dewan itu adalah harta sekolah, dan PIBG berisiko kehilangan autonomi ke atas salah sumber pendapatan utamanya jika jabatan pendidikan memilih untuk mengganggu urusan menyewa dewan.

