Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Negara lebih penting dari persahabatan, kata Shafie
Diterbitkan:  Apr 9, 2018 8:30 PM
Dikemaskini: 1:08 PM

Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata soal persahabatan tidak boleh menjadi lebih utama berbanding perkara yang melibatkan masa depan negara.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak hari ini yang menyifatkan Shafie telah 'menikam belakangnya' apabila keluar dari Umno.

"Saya bagi peluang luar biasa kepada Shafie menjadi naib presiden (Umno) dan melantiknya menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk membawa perubahan di kawasan luar bandar khususnya di Sabah.

"Saya kecewa dalam keadaan tertentu dia tikam saya dari belakang... pedih rasanya apabila sahabat karib berbuat demikian," kata Najib.

Shafie bagaimanapun berkata beliau sememangnya seorang yang akan berdepan dengan isu-isu utama secara terus.

Menjadikan skandal 1MDB sebagai contoh, beliau berkata telah bersemuka dengan Najib untuk bertanya tentang isu itu.

"Maka untuk kata saya tikam belakang adalah tuduhan yang tak masuk akal dan tidak berasas," katanya dalam kenyataan.

Penyandang parlimen Semporna itu mendakwa beliau mengadakan "pertemuan empat mata" dengan Najib di kediaman presiden Umno itu, dan menasihatinya agar "mengambil tindakan yang perlu dan betul" sebelum skandal 1MDB meletus.

"Saya beritahu dia skandal 1MDB bukan saja akan menghantui dirinya dan Umno tetapi negara secara keseluruhan. Dan sekarang seluruh dunia bercakap tentangnya.

"Selepas beliau tidak dengar nasihat itu, saya bangkitkan lagi dalam mesyuarat Kabinet. Bukan sekali, tetapi beberapa kali dan menteri lain hanya berdiam diri. Akhirnya (bekas perdana menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin turut bersuara dan berkata 1MDB di landasan salah.

"Saya bersuara secara berdepan, maka nak tuduh saya tikam belakang adalah suatu yang tak masuk akal. Najib seperti orang yang lemas dan berpaut pada tali," katanya lagi.

Beliau berkata tuduhan tidak berasas seumpama itu tidak akan menyelesaikan isu 1MDB.

Mengakui Najib pernah menjadi kawan dan mentornya, Shafie berkata beliau dulu sentiasa menyokongnya ketika hadir dengan dasar yang baik untuk rakyat dan negara.

"Tetapi kawan atau tidak, saya tidak boleh terus membisu di saat negara dan parti terdedah dengan cemuhan dan keaiban," katanya lagi.

'Buat apa kutuk saya?'

Shafie berkata tidak akan teragak-agak untuk mengecam sesiapa yang dirasakannya melakukan kesalahan dan menyifatkan pembodek sebagai "parasit terburuk bagi sebuah negara".

Najib juga mendakwa Shafie tidak mengikut nasihatnya agar mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Mengulas dakwaan itu, beliau menyatakan rasa hairannya apabila Musa "berbisik perkara tidak benar kepada Najib".

"Musa sepatutnya menggesa isu Perjanjian Malaysia 1963 diselesaikan segera dan bukannya mengutuk saya. Saya bukan lagi dalam Umno.

"Barangkali Musa kini melihat saya dan WARISAN sebagai ancaman lebih besar kepadanya dan survival Umno di Sabah," katanya.

Berhubung kenyataan Najib bahawa BN akan menewaskannya di Semporna, Shafie mengingatkan Najib betapa beliau sendiri nyaris tersungkur di Pekan dalam satu pilihan raya akibat rasa tidak puas hati anggota Umno.

"Saya sudah buat yang terbaik untuk penduduk Semporna dan mereka mengetahuinya. Takdir saya (pada PRU ke-14) di tangan mereka dan saya tidak risau mereka khianati saya," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS