Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRU14 |  Anggota Parlimen Kepong selama lapan penggal, Dr Tan Seng Giaw yang digugurkan sebagai calon DAP semalam berkata tidak akan bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya umum akan datang.

"Tidak, saya tidak akan bertanding sebagai calon bebas, ini bukan cara berpolitik yang sepatutnya," kata beliau ketika dihubungi Malaysiakini.

Tan juga berjanji tidak akan berpaling tadah atau melompat ke parti lain.

Malam tadi, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengumumkan Tan akan digantikan dengan penyandang kerusi parlimen Segambut, Lim Lip Eng. Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Subang Hannah Yeoh menggantikan Lim di Segambut.

Dr Tan yang juga timbalan pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkata beliau tidak hadir majlis pengumuman calon itu di Petaling Jaya tadi malam kerana tidak mendapat undangan.

Sebelum ini, Tan berkata tidak akan berundur daripada mempertahankan kerusi beliau di Kepong kerana ramai orang meminta beliau berbuat demikian.

"Saya tidak akan berundur.

"Rakyat masih lagi mahu berjumpa saya untuk mendapatkan khidmat saya sebagai wakil rakyat dan mereka masih lagi percayakan saya," kata beliau.

Namun demikian, pendirian terkini Dr Tan menerima keputusan parti yang menggugurkan beliau sebagai calon dan berkata beliau tidak bersedih dengan perkara tersebut.

"Tiada hal. Politik penuh dengan perubahan," kata beliau.

Beliau juga berkata akan menggesa penyokong dan pengundinya untuk menyokong Lim.

"Terserah mereka untuk membuat keputusan," kata beliau.

Pada pilihan raya umum 2013, Dr Tan mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 40,307 undi menewaskan dua pencabar, calon PPP, Chandrakumanan Arumugam dan calon bebas, Yee Poh Ping.

Tan pertama kali bertanding di Kepong pada 1978 di bawah tiket Pekemas tetapi kalah. Beliau kembali bertanding pada 1982 dan semenjak itu memenangi kerusi tersebut pada setiap pilihan raya.

Lihat Komen
ADS