Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zaid tolak tawaran BERSATU tanding di 'kerusi glamor luar bandar'
Diterbitkan:  Apr 12, 2018 12:08 PM
Dikemaskini: 6:18 AM

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mendakwa bahawa BERSATU Kelantan menawarkan untuk bertanding pada pilihan raya umum 9 Mei ini di "kerusi glamor luar bandar" tetapi beliau menolak tawaran itu.

"Saya bukan superman, (saya) tidak boleh lakukan kerja yang baik dalam tiga minggu. Jadi, saya tolaknya," katanya di Twitter.

Sebelum ini, bekas ahli parlimen Umno, yang kini adalah anggota DAP, mengadu bahawa beliau tidak ditawarkan sebarang kerusi untuk bertanding.

Beliau juga menyamakan dirinya dengan pemimpin veteran DAP, Dr Tan Seng Giaw yang tidak dinamakan lagi sebagai calon kerusi Parlimen Kepong, yang dipegangnya selama lapan penggal.

"Dia (Tan) dibuang selepas 30 tahun, saya pula selepas 12 bulan,” kata Zaid.

Sementara itu, Zaid juga melahirkan penghargaannya kepada pemimpin BERSATU Kelantan yang menawarkannya kerusi berkenaan.

"Baik sungguhnya dia itu. (Dia) bahkan meyakinkan saya bahawa masyarakat luar bandar dan golongan miskin menerima saya, hanya yang kaya tidak," katanya.

Walau bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan nama pemimpin yang kononnya memanggilnya atau kerusi yang ditawarkan itu.

Zaid, yang berasal dari Kelantan, adalah bekas anggota Parlimen Kota Bahru ketika bertanding di bawah tiket BN.

Pada 5 April lalu, Zaid mendedahkan bahawa dirinya digugurkan daripada ceramah PKR kerana ada yang berpendapat bahawa beliau tidak mempunyai tarikan di kalangan hadirin Melayu.

Pada bulan Februari lalu, bekas menteri itu berkata beliau sedia bertanding menentang sama ada Anggota Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad atau Anggota Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

Sementara itu, Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Mohd Nor enggan mengulas lanjut berhubung kenyataan Zaid itu.

"Saya tak mahu komen apa-apa, " katanya ringkas ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS