Bahasa Mandarin dan insuran akan menjadi dua kursus baru dalam program Skim Latihan Siswazah Menganggur (SLSM) tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Abdul Rahman Bakar berkata, pengenalan kursus baru itu perlu kerana relevan dengan kehendak pasaran kerja ketika ini.

Dalam laporan Bernama, beliau juga berkata, setakat ini skim itu berjaya menepati matlamat untuk memberi pekerjaan kepada graduan menganggur.

Kira-kira 74 peratus daripada 5,452 graduan yang menyertai SLSM telah mendapat pekerjaan.

"Skim ini sebenarnya telah berjaya kerana ia menepati kehendak pasaran pekerjaan di negara kita," katanya di Dewan Rakyat.

Abdul Rahman berkata kaum Bumiputera adalah yang paling ramai menyertai skim tersebut iaitu seramai 4,896 orang, diikuti Cina (420 orang) dan India (136 orang).

Katanya kementerian menjangkakan lebih ramai graduan menganggur akan menyertai skim itu kerana elaun insentifnya telah dinaikkan daripada RM350 kepada RM500 seorang.

"Skim ini merupakan program bersepadu yang disertai beberapa pihak yang menekankan kepada kemahiran kerja selain etika dan mereka diberikan bimbingan untuk meningkatkan keyakinan," jelasnya.

Menurutnya tidak ada sebab graduan menganggur enggan menyertai skim itu kerana ia sangat berfaedah.

Beliau berkata kerajaan menanggung sepenuhnya yuran pengajian hampir RM4,000 untuk seorang.