Bekas pelajar USM heret Kem Pendidikan ke mahkamah
Terjemahan Seorang bekas pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) mengheret Kementerian Pelajaran ke mahkamah berhubung hukuman yang dikenakan terhadapnya kerana terlibat dalam kempen pilihanraya umum 2004.
Dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Soh Sook Hwa meminta tindakan Kementerian Pelajaran menolak rayuannya terhadap hukuman yang dibuat oleh Lembaga Disiplin USM ke atasnya dikaji semula.
Kementerian berkenaan menolak permohonan Soh menerusi surat bertarikh 26 April, 2005.
Soh juga meminta mahkamah mengisytiharkan seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan Peraturan 3 dan 13 Universiti Sains Malaysia (Disiplin Pelajar) sebagai tidak sah dan meminta ia ditolak.
Langgar AUKU
Seksyen 15 AUKU menghalang para pelajar mengadakan hubungan dengan mana-mana parti politik.
Hakim Wan Arfah Wan Ibrahim yang mendengar permohonan Soh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpu pagi ini menetapkan kes itu disebut semula pada 16 Januari tahun depan.
Pendakwa Kanan Persekutuan Osman Effendi yang mewakili Peguam Negara memberitahu mahkamah bahawa Peguam Negara akan mengemukakan hujah pembelaannya bagi mengenepikan permohonan tersebut dalam masa sebulan dari sekarang.
Soh didapati bersalah melanggar seksyen 15 AUKU oleh lembaga disiplin USM pada Disember 2004.
Dia didenda RM200 dan dikenakan amaran keras. Ketika itu Soh adalah pelajar semester akhir kursus kewartawan. Gambar Soh memakai baju-T yang dicop dengan logo sebuah parti pembangkang tersiar dalam sebuah akhbar berbahasa Cina.
Berdasarkan gambar tersebut, USM menuduh Soh berkempen untuk calon Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua yang bertanding di parlimen Batu.
Beberapa bulan selepas gambar tersebut tersiar, bekas pelajar itu menerima surat daripada USM mendakwanya melanggar Seksyen 15 AUKU. Dia juga dituduh mencmar nama baik universiti tersebut.

