Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR kutuk serangan 'kuasa Barat' ke Syria
Diterbitkan:  Apr 15, 2018 9:01 AM
Dikemaskini: 1:05 AM

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengutuk serangan Amerika Syarikat, Perancis dan United Kingdom ke Syria kelmarin.

"PKR mengecam serangan Amerika Syarikat (AS), Perancis dan United Kingdom (UK) ke Syria.

"Penggunaan senjata kimia oleh mana-mana pihak sekali pun adalah jelas melanggar undang-undang antarabangsa, namun konflik di Syria tidak boleh diselesaikan dengan tindakan ketenteraan," kata Azizah dalam suatu kenyataan, malam tadi.

Beliau juga menuntut semua pihak mematuhi Resolusi 2254 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, yang menggesa satu gencatan senjata seluruh negara dan peralihan politik di Syria.

"Kami menggesa semua pihak untuk mematuhi Resolusi 2254 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan bekerjasama ke arah penyelesaian aman untuk konflik di Syria dan menamatkan penderitaan rakyat Syria," kata beliau lagi.

Misi selesai

AS, Perancis dan UK melancarkan 105 peluru berpandu sepanjang malam sebagai tindak balas terhadap dakwaan serangan gas beracun di Syria seminggu yang lalu, lapor Reuters.

Reuters juga melaporkan jurucakap Pentagon yang berkata serangan itu menyasarkan tempat senjata kimia, termasuklah pusat penyelidikan dan pembangunan di Damsyik dan Hom.

Pengeboman itu merupakan campur tangan terbesar negara-negara Barat terhadap pemerintahan Presiden Bashar Al Assad dan sekutunya Rusia.

Ketiga-tiga negara yang terlibat mengebom Syria itu berkata serangan tersebut hanya terhad terhadap fasiliti senjata kimia dan tidak berhasrat menggulingkan Assad atau campur tangan dalam perang saudara di negara itu, lapor Reuters lagi.

Presiden AS Donald Trump dalam hantaran Twitter semalam menulis, "Mission accomplished (misi selesai)," mengulang ayat yang pernah diucapkan presiden George W. Bush pada 2003 bagi menjelaskan pendudukan Iraq.


 

Lihat Komen
ADS