Tiada denda lewat tukar MyKad?
Kerajaan belum memutuskan samaada mendenda atau tidak mereka yang tidak menukar kad pengenalan kepada MyKad selepas 31 Disember ini.
Ini dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Azmi Khalid di Parlimen hari ini.
Kerajaan belum memutuskan samaada mendenda atau tidak mereka yang tidak menukar kad pengenalan kepada MyKad selepas 31 Disember ini.
Ini dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Azmi Khalid di Parlimen hari ini.
Bagaimanapun katanya, semua penukaran MyKad selepas tarikh itu akan dikenakan bayaran kerana tempoh pengecualian yang diberikan kerajaan telah tamat.
Kementerian mungkin menimbang memberikan pengecualian kepada kes-kes tertentu seperti rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara.
Bagaimanapun kata Azmi, keputusan itu terpulang kepada Kabinet. Beliau menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2006 di Dewan Rakyat.
Mengenai kempen "Jom Tukar dan Menang" yang menawarkan sebuah kereta Myvi kepada pemegang MyKad bertuah, menurutnya ia merupakan pendekatan kerajaan untuk "memujuk" rakyat menukar kad pengenalan mereka.
"Kerajaan sentiasa menimbang untuk memujuk atau memaksa rakyat... kita pujuk mereka dengan insentif kempen itu," katanya.
Strategi memujuk
Azmi berkata rekod terkini menunjukkan terdapat 1.4 juta orang belum mendapatkan MyKad dengan 400,000 daripadanya terdiri daripada golongan yang menghadapi masalah seperti banduan di penjara, penagih di pusat serenti, pelajar dan rakyat Malaysia di luar negara.
Beliau berkata kementerian juga mewujudkan unit bergerak Jabatan Pendaftaran Negara bagi memudahkan orang awam yang tua dan uzur berurusan dengan jabatan itu, khususnya di kawasan pedalaman.
Kementerian juga sedang berusaha untuk meningkatkan kualiti kad itu secara menyeluruh berdasarkan kepada aduan awam bahawa ia mudah rosak.

