Hanipa nafi pemimpin AMANAH pernah cadang pinda perlembagaan PAS
Anggota Parlimen Sepang Hanipa Maidin menyifatkan kenyataan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) pernah mencadangkan pemindaan perlembagaan PAS sebagai dakwaan yang tidak berasas.
Ini kerana, menurut Hanipa, PAS sebelum ini pernah bekerjasama dengan parti lain termasuklah bersama Barisan Alternatif tanpa perlu meminda perlembagaan parti.
"Di mana logiknya dan rasionalnya bila dia (Abdul Hadi) dakwa ada usaha untuk pinda perlembagaan parti suci (PAS) bagi nak mudahkan kerjasama dengan parti lain khususnya DAP.
"Jika ini bukan temberang, apa namanya?" katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Hanipa berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Abdul Hadi semalam yang mendakwa pemimpin parti serpihan PAS yang kini bersama AMANAH pernah mencadangkan pemindaan perlembagaan bagi mengurangkan peranan Majlis Syura Ulama.
Selain itu, jelas Abdul Hadi, cadangan itu dibuat bagi memudahkan kerjasama dengan parti lain khususnya DAP.
Sementara itu, Hanipa dalam kenyataan sama mempersoalkan penggunaan "sistem cai" iaitu pengedaran senarai nama dalam pemilihan parti yang menurutnya diamalkan PAS khususnya pada Muktamar 2015.
"Tunjukkan kepada saya sebarang peruntukan dalam perlembagaan PAS yang kata boleh guna sistem cai, yang kata (mewajibkan) pemimpin nombor satu dan nombor dua mesti ulama," katanya.
Hanipa juga mencabar Abdul Hadi menyebutkan nama pemimpin AMANAH yang dimaksudkan selain mencabar anggota parlimen Marang itu berdebat tentang perkara itu.
"Bukan apa, senang sikit kami (AMANAH) nak saman beliau. Atau alternatifnya, kita berdebat berdua..nak tak? Pak Aji (Abdul pilihlah tempat dan moderatornya. Saya ikut je insyaAllah.
"Bila-bila masa dan di mana-mana. Ini bukan isu nak tunjuk hebat tapi nak dedah kebenaran supaya orang tak keliru," katanya.

