Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRU14 | Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengumumkan ahli akademik dan Ketua Bahagian BERSATU Cheras Samsu Adabi Mamat sebagai calon parlimen Putrajaya.

Pengumuman dibuat itu selepas laporan sebelum ini mengatakan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman akan bertanding di kerusi itu berdepan dengan penyandang dari BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Malaysiakini sebelum ini memetik sumber parti itu yang mendakwa Rashid disahkan sebagai calon kerusi itu dalam mesyuarat minggu lepas.

Diminta mengulas perkara itu, Samsu Adabi menjelaskan ia hanyalah laporan media dan tidak sama dengan pendirian rasmi BERSATU.

"Apa yang diputuskan sebelum ini adalah apa yang diumumkan pada malam ini," katanya kepada pemberita di Putrajaya malam tadi.

Ditanya alasan berpindah dari Cheras ke Putrajaya, Samsu Adabi berkata Cheras kini merupakan kerusi DAP.

"BERSATU membuat keputusan bahawa calon untuk kerusi wilayah persekutuan perlulah dari kalangan ketua bahagian di wilayah persekutuan," katanya.

Bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia itu juga mengesahkan bahawa beliau masih merupakan pengundi berdaftar di Tanah Merah, Kelantan.

"Saya tidak pernah terlintas akan bertanding sebagai calon. Sebab itu saya tidak menukar tempat mengundi kerana Tanah Merah merupakan kampung halaman saya," katanya.

Ketua Bahagian BERSATU Wilayah Persekutuan Muhammad Suhaimi Yahya sebelum ini membuat pengumuman berhubung pencalonan Samsu Adabi selain Ketua Wanita BERSATU Rina Harun yang akan bertanding di parlimen Titiwangsa.

Rina dijangka berdepan penyandang dari BN Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis 866 undi.

Suhaimi berkata lembaga mesyuarat yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Presiden BERSATU Tan SRi Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir memilih "calon paling sesuai" untuk dua kerusi itu.

Lihat Komen
ADS