Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Warkah dari penjara ajak rakyat bangkit tolak Umno-BN

ULASAN l Isu pokok Pilihan Raya Umum (PRU) adalah pengurusan negara. Kita terdedah dengan kes rasuah saperti 1MDB yang disiasat oleh lebih lima negara.

Sungguh mengaibkan manakala nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diheret secara berterusan; tanpa sebarang penjelasan munasabah.

Apa yang dilakukan adalah kenyataan bahawa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Parlimen telah membersihkan nama Najib.

Namun sejak itu, Jabatan Keadilan (DOJ) merika Syarikat, keputusan mahkamah Singapura, siasatan Jabatan Peguam Negara Switzerland terus mengaitkan nama Jho Low dan bahawa 1MDB adalah di bawah kelolaan perdana menteri sendiri.

Belum pernah berlaku dalam sejarah negara, nama negara khusus perdana menteri, dicemarkan semua media utama antarabangsa; apa yang pernah diungkapkan oleh The Economist sebagai “skandal terbesar yang melibatkan dana negara”.

Kedua, adalah skandal Felda, lembaga yang dibanggakan kerana menyelamatkan masyarakat desa dari belenggu kemiskinan.

Pendedahan beberapa tahun lalu menggempurkan kerana membuktikan wujudnya pengkhianatan di kalangan pimpinan dan pengurusan tertinggi Felda merompak harta peneroka.

Mengapa penyiasatan terpendam dan kerugian berbilion ringgit dana Felda cuba dipadamkan dengan hanya siasatan dalaman. Maka suara pembela profesor Melayu yang sentiasa mencanang soal hak dan ketuanan?

Apakah pengkhianatan sebegini besar mampu dipandang ringan tanpa penyiasatan terbuka?

Kita belum saksikan kesungguhan SPRM didalam kedua-dua kes 1MDB dan Felda.

Ketiga, dengan segala keriuhan pelancaran manifesto BN dan manifesto Belia BN; mereka meninggalkan isu paling utama yang mencengkam rakyat. Rakyat tertekan dengan kenaikan harga barang terutama kerana perlaksanaan GST yang lemah dan menekan rakyat.

Pengangguran meningkat, perumahaan rakyat terabai; kesenjangan di kalangan golongan kecil kaya-raya dan rakyat terbanyak terus melebar.

Munasabahkah pemimpin BN berjanji lagi? Manifesto BN dengan sendirinya mempamerkan kegagalan mereka sendiri.

Jika dirumuskan permasalahan yang diutarakan, kelemahan ketara adalah pengurusan kerajaan; kelemahan pemimpin dan kegagalan institusi pemerintahan di bawah pengendalian mereka.

Maka, rakyat wajar bangkit dan menolak rasuah dan kezaliman.

Sistem negara kian bobrok dan rakyatlah yang perlu bangkit menolak Umno-BN dan memberikan peluang kepada Pakatan Harapan menerajui negara dan mengangkat martabat Malaysia yang tercinta.


DATUK SERI ANWAR IBRAHIM bekas ketua pembangkang dan sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Sungai Buloh.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS