Ulasan Malaysiakini

'Najib akui wujudnya tsunami Melayu'

Liew Chin Tong  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

ULASAN l Hampir dua minggu lalu, dalam pertemuannya dengan editor kanan di pejabatnya di Putrajaya, Datuk Seri Najib Razak dengan penuh yakin menyatakan tsunami Melayu tidak mungkin berlaku dalam pilihan raya umum kali ini.

"Saya tidak nampak tsunami Melayu akan berlaku, tsunami Melayu ini bermaksud Umno ditolak. Saya tidak nampak (itu akan berlaku),” katanya seperti yang dipetik agensi berita Bernama pada 4 April lalu.

Tetapi sekarang nadanya sudah berubah. Semalam dalam satu majlis di Subang Jaya, Selangor, Najib selaku Presiden Umno merangkap Pengerusi BN, membuat tuduhan palsu kononnya Pakatan Harapan tidak menghormati institusi Bumiputera seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Menggunakan tuduhan palsu itu yang juga merupakan satu bentuk berita tidak benar, dia dipetik media sebagai berkata,”…amat penting bagi kita untuk pastikan dalam pilihan raya umum ke-14 ini tidak akan berlaku tsunami Melayu.”

Ini bermaksud dia sendiri terpaksa bekerja keras untuk melawan tsunami Melayu yang pada mulanya dikatakan tidak wujud itu.

Kini Najib cuba memujuk orang Melayu supaya tidak bangun menentangnya. Dia sanggup menggunakan fitnah bersifat perkauman dan keagamaan demi mengekalkan kuasanya sendiri.

Fenomena kebangkitan orang Melayu ini telah saya suarakan sejak tiga tahun lalu.

Dalam tulisan saya pada Julai 2015, saya mengemukakan hujah bahawa undi orang Melayu akan beralih kepada pembangkang kerana mereka marah dan tidak tahan lagi dengan tekanan ekonomi dan sosial akibat kelemahan pentadbiran Najib.

Kini ia menjadi kenyataan. Apa yang Najib suarakan semalam membuktikan tsunami Melayu bukan sebuah ramalan, sebaliknya ia fenomena yang sedang terjadi.

Walaupun ditekan dan dihalang oleh BN, rakyat pelbagai kaum, termasuk ramai orang Melayu di merata negeri seperti Kedah, Perlis, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor masih sanggup hadir ke ceramah Pakatan Harapan walaupun dalam keadaan hujan ribut.

Oleh kerana itulah, Najib dan menteri-menterinya bermati-matian cuba menafikan kewujudan gelombang kebangkitan orang Melayu.

Kita tiada pilihan lain kecuali bersama-sama memilih Pakatan Harapan jika kita mahu sebuah kerajaan baru yang prihatin, adil, tidak rasuah, dan tidak tamak kuasa.


LIEW CHIN TONG ialah calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi kerusi Parlimen Ayer Hitam merangkap Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan.

Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.