Hadi tak pertahan Rhu Rendang
PAS hari ini mengumumkan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya akan bertanding di kerusi parlimen Marang sahaja pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Untuk makluman presiden dan timbalan, termasuk saya akan bertanding di parlimen sahaja,” kata Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dalam sidang media di pejabat parti itu di Kuala Lumpur.
Diminta mengesahkan sama ada Hadi tidak mempertahankan kerusi Rhu Rendang, Takiyuddin hanya menjawab: “Tak”.
Abdul Hadi sebelum ini memutuskan untuk bertanding hanya satu kerusi sahaja pada PRU14 kali ini tetapi belum memutuskan sama ada DUN atau parlimen.
Beliau menyandang kerusi parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang menewaskan calon BN pada pilihan raya umum lalu.
Selain itu Takiyuddin juga berkata timbalan presiden parti itu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak akan bertanding di Pahang.
“Di Pahang Tuan Ibrahim yang akan umumkan calon yang kebetulan nama beliau belum diisytiharkan untuk menjadi calon bagi mana-mana kerusi dan beliau tidak bertanding di Pahang, ini gambaran sikit,” katanya.
Diminta mengesahkan sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Kota Bharu, Takiyuddin hanya menjawab: “Ya, saya akan pertahankan.”
Takiyuddin sebelum itu menjelaskan bahawa PAS akan mengumumkan calon-calon yang akan bertanding pada PRU14 di setiap negeri esok kecuali Kelantan.
Jelasnya, Kelantan meminta penangguhan untuk memperkemaskan senarai mereka manakala Sabah diumum pada 22 dan Sarawak pada 21 oleh Hadi di sana kelak.
“Senarai yang kita berikan akan diberikan kepada pesuruhjaya pas negeri kecuali Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man akan umumkan calon,” katanya.

