Paling Popular
Terkini

PRU14 l Kecewa dengan kegagalan jentera parti dikatakan mendorong Miqdad Zakaria enggan bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) kali ini.

Menurut sumber, tindakan Parti Amanah Negara (AMANAH) Terengganu memilih tokoh yang tidak meyakinkan untuk bertanding di kawasan parlimen Marang menjadi satu daripada sebab Miqdad berundur.

Katanya, tokoh yang disebut-sebut akan berdepan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu baru saja menyertai AMANAH selepas melompat parti beberapa kali sebelum ini.

"Sebelum AMANAH dia masuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)," katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini Miqdad yang juga anak saudara isteri presiden PAS itu mengumumkan tidak akan bertanding sebagai calon PRU ke-13 ini.

Katanya dia memang sejak awal tidak berminat untuk bertanding dan apa yang lebih penting ialah "memecahkan minda taasub" yang wujud di Marang.

"Ana (saya) sangat menghargai usaha dan pengorbanan kalian semua, akan tetapi untuk kebaikan kita bersama, agenda untuk bertanding ini perlu dibatalkan," katanya.

Kata sumber itu semalam mereka bertemu dengan Miqdad untuk berbincang dan menasihatinya agar tidak membuat keputusan tergesa-gesa.

"Tapi nampaknya dia sudah buat keputusan hari ini," katanya.

Sementara itu bekas ketua penerangan Pakatan Harapan (HARAPAN) Terengganu berkata selain Marang AMANAH Kuala Nerus juga berdepan dengan masalah dalaman.

Namun katanya pergolakan itu sudah diselesaikan apabila calon yang akan diturunkan nanti dapat diterima AMANAH Terengganu.

Kata Hambali, pergolakan dalam AMANAH Marang dikatakan bermula apabila ada kenyataan daripada pemimpin parti itu mengetepikan nama Miqdad daripada calon Marang.

Sebaliknya, kata Hambalil ada khabar angin menyebut nama Miqdad diletakkan sebagai calon HARAPAN di kawasan dewan undangan negeri Rhu Rendang.

Kerusi itu diwakili Abdul Hadi sejak ia diwujudkan pada 1986.

"Penarik diri Miqdad ini pasti melegakan PAS kerana calon yang bakal diletakkan di kawasan parlimen Marang dianggap tidak berpengaruh dan tidak digeruni langsung oleh PAS dan BN," katanya.

Hambali menyatakan ada kemungkinan aktiviti persiapan AMANAH menghadapi PRU ke-14 di Marang juga akan dihentikan.

Lihat Komen
ADS