Rais pertikai serah Jelebu kepada MIC
PRU14 | Bekas menteri Tan Sri Rais Yatim dikatakan tidak puas hati susulan khabar angin yang mendakwa kerusi Parlimen Jelebu yang kini disandang wakil Umno akan diserahkan kepada MIC.
Rais yang memegang kerusi itu sehingga 2013 berkata beliau dimaklumkan perkara itu oleh ketua bahagian Umno Jelebu.
"Saya memang tidak bersetuju dengan peraturan yang dibuat begitu, dengan mudah sahaja MIC dapat Jelebu.
"Ramai Melayu yang jadi pemilih, hampir 68 peratus. (Pengundi Melayu) lebih kurang 33,000, pengundi Cina 12,000, dan (pengundi) India hanya 2,600 di Jebelu.
"Justifikasinya amat sukar walaupun arahan dari atas untuk MIC pergi ke Jelebu. Saya fikir dasarnya adalah tidak tepat dan tak kukuh oleh kerana sekian lama Umno di jelebu, memupuk kawasan yang sudah sebati dengan integriti pemilih Melayu, tak mudah diserah begitu sahaja kepada MIC tanpa perundingan yang kukuh," katanya kepada Malaysiakini.
Sumber MIC mengesahkan kerusi Jelebu sudah diberikan kepada parti komponen BN itu.
"Ya, dan (Timbalan Presiden MIC) SK Devamany (gambar) adalah calonnya," kata sumber kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Rais, yang juga merupakan penasihat kebudayaan kerajaan mendakwa, ketua kampung, wakil Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan wakil bahagian tidak dimaklumkan perkara itu.
"Menteri besar yang saya sudah hubungi pun tidak tahu tentang perkara ini.
"Sebagai pejuang Umno lama saya memandang ini sebagai suatu yang tidak kemas, mungkin menimbulkan banyak risiko," katanya.
Rais juga menegaskan bahawa Jelebu mempunyai pemimpin yang cukup.
"Ada banyak pemimpun muda, separuh tua, dan pemimpin lama. Memandangkan trend Dr Mahathir Mohamad bertanding dan Tengku Razaleigh Hamzah pun bertanding, mungkin di Jelebu pun ada orang-orang seperti itu," katanya.
Rais menjelaskan beliau sudah menghubungi pucuk pimpinan termasuk di bahagian dan negeri berhubung perkara itu.
"Saya harap mereka ambil kira pandangan saya kerana saya sudah lama mengendalikan Umno Jelebu.
"Saya berpendapat tak cukup masa untuk mengubah sikap (pengundi) jika meletakkan calon MIC ketika ini. Saya harap Umno Jelebu diberi keutamaan untuk memilih pemimpin mereka," katanya.
Rais yang menjelaskan bahawa beliau dimaklumkan hal Ahad dan ia diambil untuk memudahkan Port Dickson atau sebelum ini dikenali sebagai Teluk Kemang.
"Saya pun tak faham kenapa Jelebu dikorbankan. Di Port Dickson nisbah India lebih besar daripada di Jelebu," katanya.

