Petronas bantu 4,200 keluarga selama setahun
Sejumlah 4,200 keluarga di Kedah, Selangor, Kelantan, Sabah dan Sarawak bakal menerima bantuan bulanan dalam bentuk produk makanan asas selama setahun menerusi program Sentuhan Kasih Petronas bermula bulan ini.
Petronas dalam kenyataannya juga merancang untuk memperluaskan lagi program tersebut ke negeri-negeri lain kepada golongan yang memerlukan.
“Lebih RM5 juta dana telah diperuntukkan bagi melaksanakan program itu yang akan menyaksikan setiap keluarga menerima sumbangan barangan makanan bernilai RM80 setiap bulan. Sebagai tambahan kepada jumlah itu, setiap keluarga juga akan menerima bantuan bernilai RM240 semasa musim perayaan.
“Sumbangan akan diberikan dalam bentuk ‘pembayaran tanpa tunai’ melalui pembelian barangan makanan di pasar raya terpilih menggunakan MyKad masing-masing,” katanya.
Pengurus Besar Kanan Petronas, Komunikasi Strategik Kumpulan, Zahariah Abdul Rahman berkata: “Program Sentuhan Kasih merupakan satu daripada inisiatif pelaburan sosial korporat (CSI) Petronas yang bertujuan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
“Adalah menjadi harapan kami agar inisiatif ini dapat membantu meringankan beban mereka dalam menjalani kehidupan seharian, terutama bagi yang mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai,” katanya.
Dana bagi sumbangan tersebut akan diurus tadbir serta diagihkan oleh Yayasan MyKasih mulai April 2018 hingga Mac 2019.
Sejak 2005, PETRONAS telah menjalankan pelbagai inisiatif berorientasikan komuniti seperti Program Sentuhan Kasih yang bertujuan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan negara. -Bernama

