Keadaan kesihatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba semakin baik. Menurut perunding kardiologi Pusat perubatan Pantai (PMC), Dr. Zainal Abidin Abdul Hamid, penafasan Ghafar kini semakin pulih.

"Beliau kini boleh bernafas sendiri dengan mudah untuk tempoh yang agak lama tanpa sebarang bantuan. Tun Ghafar juga sudah mahu bercakap dengan doktor," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan ringkas Dr. Zainal itu dibacakan oleh seorang pegawai PMC kepada Malaysiakini ketika dihubungi tengah hari tadi. Kenyataan itu dikeluarkan pada pukul 1 tengah hari bagi menafikan khabar-khabar angin yang mendakwa Ghafar telah meninggal dunia hari ini.

Menurut pegawai berkenaan, penjelasan itu perlu dibuat walaupun ia bukannya amalan biasa pihak hospital.

Katanya, kenyataan media seperti itu hanya dibuat jika penyakit yang dihadapi oleh tokoh terkemuka berkenaan semakin buruk.

Khabar-khabar angin mengenai kematian Ghafar disebar beberapa jam selepas isteri Perdana Menteri, Datin Seri Endon Mahmood meninggal dunia pada pukul 7.55 pagi tadi.

Ghafar yang berusia 80 tahun dirawat di PMC sejak Khamis lalu kerana sakit dada. Sebelum itu beliau dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya.